Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa tawaran kadar kompaun khas pada kadar rata RM150 kini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025. Keputusan ini dibuat bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka dengan lebih mudah dan berpatutan.

Tawaran khas ini melibatkan tiga kategori saman utama sahaja iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwaS) yang dikeluarkan dari Oktober 2018 hingga kini; Notis 114 yang dikeluarkan pada tahun 2024 dan ke bawah; serta Notis 115 iaitu permintaan butiran pemandu bagi tahun 2024 dan sebelumnya.
Orang awam disarankan untuk membuat semakan saman dan melunaskan bayaran melalui pelbagai saluran yang disediakan seperti aplikasi MyJPJ, portal awam MySikap, kios JPJ, perkhidmatan JPJ Mobile serta kaunter JPJ di seluruh negara.


JPJ turut mengingatkan bahawa kegagalan untuk menyelesaikan mana-mana saman yang dikompaun sama ada saman tertunggak atau yang telah melebihi tempoh bayaran boleh mengakibatkan kenderaan disenaraikan hitam secara automatik oleh sistem bermula 1 Julai 2025.



