KUANTAN- Kesalahan mengubah suai lori dengan menambah pagar di bahagian muatan tanpa kebenaran antara pelanggaran dikesan dilakukan pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan sepanjang Ops Khas Kenderaan Perdagangan di negeri ini sepanjang Januari hingga 27 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, daripada 37,291 kenderaan perdagangan diperiksa dalam tempoh itu, 5,183 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa lebih muatan.
Menurutnya, daripada 1,218 kenderaan perdagangan dikesan membawa lebih muatan diarahkan menjalani proses timbang dan 721 daripadanya dikeluarkan saman atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (lebih muatan)
"Selain itu, 35 kenderaan disita termasuk 12 daripadanya di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang melibatkan proses lucut hak,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini pada Khamis.
**media[3534165]**
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata,kesalahan lain yang banyak dikesan termasuk tiada atau cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak memiliki lesen memandu dan pelbagai kesalahan teknikal lain.
Sementara itu katanya, JPJ Pahang turut melaksanakan Ops Luxury di negeri ini dan dalam tempoh sama, sebanyak 42 kenderaan mewah pelbagai jenis telah disita atas kesalahan tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.
"Walaupun tindakan sitaan dilakukan, pemilik kenderaan terlibat masih boleh menuntut semula kenderaan masing-masing selepas semua kesalahan dan dokumentasi berkaitan diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penguatkuasaan warta laluan terhad yang mula dikuatkuasakan di Jalan Permatang Badak di sini 6 April lalu, sebanyak 21 kenderaan diperiksa dan 11 saman dikeluarkan atas kesalahan ingkar arahan laluan terhad di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1952.
Beliau berkata, tindakan lebih tegas kini diambil selepas tempoh advokasi selama sebulan dilaksanakan tanpa penguatkuasaan melibatkan kenderaan perdagangan dengan Berat Dalam Muatan (BDM) melebihi lima tan.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ Pahang turut menggerakkan Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula 24 hingga 31 Mei inin melibatkan seramai 287 anggota penguat kuasa.
Menurutnya, dalam tempoh empat hari pertama operasi, sebanyak 3,308 kenderaan telah diperiksa dengan 359 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Hasil operasi itu, sebanyak 1,348 notis saman telah dikeluarkan selain lima kenderaan disita membabitkan kesalahan cukai jalan dan insurans,” katanya.
Beliau berkata, operasi tertumpu di tiga terminal utama iaitu di Kuantan, Temerloh dan Genting Highlands selain melibatkan pemantauan di semua terminal bas di seluruh negeri.
Tambah beliau, rondaan dan pemantauan turut dipertingkat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) serta jalan-jalan utama persekutuan dengan penekanan terhadap 35 lokasi blackspot dan 25 hotspot yang dikenal pasti di seluruh Pahang.
