

Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) melakar sejarah apabila menjadi cawangan pertama di negara ini yang beroperasi setiap hari, tujuh hari seminggu.
Langkah proaktif ini diperkenalkan bagi memberikan fleksibiliti maksimum kepada warga kota untuk menyelesaikan urusan kenderaan dan lesen mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pejabat baharu tersebut akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam dengan penugasan anggota secara dua syif setiap hari.
"Apa yang membanggakan bagi pejabat ini adalah ia menggunakan model operasi metropolitan dengan waktu perkhidmatan lebih panjang dan beroperasi tujuh hari seminggu kecuali hari perayaan. Ini bukan sahaja memudahkan warga kota di kawasan ini tetapi juga mana-mana individu yang mahu berurusan dengan JPJ pada saat-saat akhir," katanya.
Pejabat JPJ BTS yang berkeluasan lebih 14,000 kaki persegi ini tampil dengan konsep moden dan terletak strategik di dalam bangunan yang mudah diakses menggunakan jaringan pengangkutan awam.
Menurut Anthony, ini merupakan pejabat ketiga di seluruh negara yang mengguna pakai konsep mesra rakyat sedemikian.
Ganti Cawangan Bandar Sri Permaisuri yang Sesak
Pembukaan cawangan BTS ini adalah bagi menggantikan pejabat JPJ Bandar Sri Permaisuri yang telah beroperasi sejak tahun 2006.
Sebelum ini, premis di Bandar Sri Permaisuri berdepan kekangan ruang yang kritikal ekoran lonjakan jumlah pelanggan yang mencecah sehingga 1,300 orang sehari, menyebabkan persekitaran tidak lagi kondusif. Proses pemindahan ke bangunan baharu di BTS telah bermula pada 8 Jun lalu sebelum beroperasi sepenuhnya hari ini.
Integrasi Digital & MyDigital ID
Sejajar dengan pelan transformasi digital negara, cawangan baharu ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi bagi mempercepatkan urusan kaunter. Antara sistem yang diintegrasikan termasuklah:
Kiosk layan diri (Kiosk JPJ)Aplikasi MyJPJSistem log masuk tunggal MyDigital IDMaklumat Ringkas JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS):
Waktu Operasi: 8.30 Pagi – 10.00 Malam (Isnin hingga Ahad, kecuali Hari Perayaan)Sistem Tugasan: 2 Syif Anggota SehariKemudahan: Kiosk Layan Diri, Integrasi MyJPJ & MyDigital ID, Akses Pengangkutan Awam


