JPJ tawar Nombor Pendaftaran Istimewa siri ‘GOLD’

30 Jan 2024 • 8:02 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tawar Nombor Pendaftaran Istimewa iaitu siri ‘GOLD’ bermula 1 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fing berkata, siri nombor pendaftaran itu ditawarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 yang akan disambut Khamis ini.

JPJ tawar Nombor Pendaftaran Istimewa

image is not available

Loke berkata, orang awam boleh mendapatkan NPI secara bidaan dalam talian melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

“NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks yang mempunyai prefix (hadapan) iaitu siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media NPI sempena Hari Wilayah Persekutuan Ke-50 di Putrajaya, hari ini.

JPJ tawar Nombor Pendaftaran Istimewa antara usaha kementerian

Tambahnya, ia juga merupakan antara usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dengan melaksanakan inisiatif seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

“50% daripada jumlah keseluruhan bidaan akan dikembalikan kepada MOT untuk dicarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pemandu teksi seluruh negara,” ujarnya.

image is not available

Bidaan NPI siri GOLD akan dibuka bermula 1 hingga 5 Februari, manakala keputusan pemenang akan diumum pada 6 Februari 2024.

Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima bagi setiap kategori iaitu Nombor Bernilai Utama bermula pada harga RM20,000.

Sementara itu, Nombor Menarik bermula pada harga RM3,000, Nombor Popular pada RM800 dan Nombor Biasa pada RM300.

Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

image is not available

“Orang awam dialu-alukan untuk menyokong hasrat kerajaan seperti inisiatif yang telah dimaklumkan dengan menyertai bidaan NPI menerusi Sistem JPJeBid,” katanya.