
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu meraih kutipan sebanyak RM312,040, hasil lelongan 62 kenderaan yang disita dan dilupuskan hari ini, kata Pengarahnya Zulkarnain Yasin (gambar).
Beliau berkata kesemua kenderaan tersebut iaitu 40 buah kereta, motosikal (20) dan lori (dua), dirampas pada 2021 dan tahun-tahun sebelumnya, dengan lelongan tertinggi sebuah kereta Mitsubishi Lancer pada harga RM26,000 dan lelongan terendah sebuah motosikal RM140.
“Lelongan kali ini melibatkan 62 buah kenderaan yang disita atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Seramai 60 pembida telah menyertai acara lelongan,” katanya pada Majlis Lelongan Awam Siri 2/2023 dan Peraturan Penggunaan Cermin Gelap di pejabat JPJ Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu Zulkarnain berkata sehingga Ogos lalu, sebanyak 7,444 notis kesalahan melibatkan cermin gelap, telah dikeluarkan oleh JPJ Terengganu.
Beliau berkata ramai pemilik kenderaan keliru dan mempersoalkan tindakan JPJ mengeluarkan notis kesalahan cermin gelap, kerana mendakwa pemasangan tinted yang dibuat di kedai aksesori menepati piawaian ditetapkan pihak berkuasa.
“Ramai tak tahu bahawa cermin kosong itu dah tinted sebanyak 10 peratus. Jadi apabila ditambah pemasangan tinted 50 peratus pada cermin sebelah pemandu atau penumpang depan, ia dah jadi 60 peratus, menyalahi kadar yang ditetapkan JPJ iaitu 50 peratus.
“Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya datang ke JPJ untuk membuat pemeriksaan menggunakan peralatan kita, bagi mengelak kerumitan di kemudian hari,” katanya. -Bernama
