JPJ Tidak Boleh Sewenangnya Batal Lesen Memandu OKU Mental Berdasarkan Stereotaip – Loke

LocalPolitics
23 Jan 2025 • 4:28 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Cadangan untuk membatalkan lesen memandu OKU mental oleh Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dinilai secara teliti berdasarkan kes tertentu, dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya atau berdasarkan stereotaip.

Memetik laporan Majoriti, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa tindakan membatalkan lesen memandu semua orang kurang upaya (OKU) mental adalah tidak wajar.

Batal lesen memandu OKU mental tidak boleh sewenang-wenangnya

image is not available

Foto: Majoriti

Beliau menegaskan bahawa ramai daripada golongan ini masih mampu memandu dengan baik dan memerlukan pengangkutan sendiri, termasuk untuk urusan mencari rezeki.

“Jika terdapat kes tertentu atau terpencil melibatkan pemandu OKU, kita akan menilai sama ada lesen mereka perlu dibatalkan (atau tidak), tetapi saya tekankan bahawa ini bukan polisi kita.

“Kita tidak boleh menyamaratakan semua OKU kerana ramai antara mereka mampu memandu kenderaan dengan selamat, dan sebenarnya mereka sangat bergantung pada lesen memandu masing-masing.

“Kita juga mempunyai ramai pemandu e-hailing dalam kalangan OKU seperti individu yang pekak atau bisu,” katanya.

image is not available

Foto: Berita Harian

Menurut Loke lagi, pelaksanaan perkara tersebut tidak boleh dilakukan secara umum kerana dibimbangi akan menjejaskan semua individu OKU.

Menurut laporan Berita Harian pula, terdahulu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin semalam yang dilapor menggesa JPJ membatalkan lesen memandu individu disahkan OKU mental dengan alasan jika membenarkan seseorang tanpa kewarasan akal memandu, ia boleh membahayakan orang lain.

Hal ini tercetus ekoran dua peristiwa, pertama sekali kes seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu selepas motosikal ditungganginya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan dijual tumpah.

image is not available

Foto: Instagram @fahamiashrof

Bukan itu sahaja, kes kedua membabitkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut dilanggar pemandu didakwa pesakit mental, namun Pejabat Kesihatan Terengganu yang membuat semakan mendapati suspek berusia 49 tahun tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.

Oleh hal yang demikian, Fahami Asnof selaku Presiden PPJK menghantar surat kepada JPJ atau Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk memastikan sekolah memandu peka dengan pelajar yang datang sebagai OKU mental.