JPJ tingkat penguatkuasaan, anjur libat urus dengan RXZ Members

LocalCars
2 Aug 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPJ tingkat penguatkuasaan, anjur libat urus dengan RXZ Members
JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peserta yang membahayakan pengguna jalan raya lain dan menegaskan kepentingan orang awam sentiasa menjadi keutamaan jabatan - Foto Bernama

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk RXZ Members dan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak menghalang penganjuran program permotoran, namun semua peserta diwajibkan mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan teknikal kenderaan.

Beliau berkata, JPJ telah memberikan nasihat kepada penganjur serta peserta supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi semua peraturan sepanjang perjalanan ke lokasi serta semasa acara berlangsung.

"Kita tidak menghalang asalkan patuh peraturan. Jika tidak, kita akan mengambil tindakan tanpa kompromi terutama terhadap kesalahan ubah suai kenderaan dan pelanggaran undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata, siasatan kemalangan membabitkan peserta program itu di bawah tanggungjawab polis manakala JPJ akan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian bagi mengelakkan pertindihan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peserta yang membahayakan pengguna jalan raya lain dan menegaskan kepentingan orang awam sentiasa menjadi keutamaan jabatan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil maklum rungutan orang ramai mengenai kesesakan lalu lintas dan tindakan segelintir peserta yang menunggang secara melulu sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, mengenai gangguan dan isu berkaitan aplikasi MyJPJ, Aedy Fadly berkata, aplikasi tersebut kini mempunyai hampir 15 juta pengguna berdaftar dan menjadi antara aplikasi kerajaan paling banyak digunakan.

Beliau berkata JPJ sentiasa melaksanakan penambahbaikan bagi mengatasi perkara itu dan beberapa ciri baharu serta teknologi terkini akan diperkenalkan dalam aplikasi MyJPJ pada September.

Beliau turut menggalakkan pengguna mengemukakan aduan atau laporan kepada JPJ jika mengalami masalah ketika menggunakan aplikasi itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved