JPN rekod 4,598 permohonan daftar kelahiran lewat setakat Julai

23 Jul 2026 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JPN rekod 4,598 permohonan daftar kelahiran lewat setakat Julai

KUALA KRAI, 23 JULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 4,598 permohonan pendaftaran kelahiran lewat di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Julai lepas.

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran kelahiran adalah langkah penting bagi memastikan setiap individu menikmati hak sebagai warganegara, termasuk akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

“Kelewatan atau kegagalan mendaftarkan kelahiran boleh memberi implikasi besar terhadap masa depan seseorang, termasuk kesukaran memperoleh dokumen pengenalan diri serta menikmati pelbagai hak dan kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni Abd Wahab, 53, di Kampung Johal di sini hari ini.

Lapan beradik itu ialah Muhammad Hamizul, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.

Ibu mereka, Nur Syuhada Wahab, 40, berkata penantian selama 19 tahun untuk melihat anak-anaknya memiliki sijil kelahiran akhirnya menjadi kenyataan selepas JPN menguruskan permohonan berkenaan.

“Dulu, urusan persekolahan dan membawa anak-anak ke klinik agak sukar kerana mereka tiada sijil kelahiran. Banyak soalan perlu dijawab dan pelbagai urusan perlu dilakukan.

“Alhamdulillah, selepas JPN menyerahkan sijil kelahiran kepada mereka, saya berhasrat menghantar enam anak saya yang kini berusia antara enam hingga 16 tahun ke sekolah tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mendaftarkan kelahiran anak-anak sebelum ini berpunca daripada masalah keluarga, termasuk ketiadaan dokumen perkahwinan serta kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk berurusan di pejabat JPN.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved