JPN Selangor siasat aduan dakwaan cikgu paksa murid beli insurans

LocalPolitics
12 Nov 2024 • 9:43 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Klang mendakwa telah dipaksa oleh cikgu di sekolah berkenaan untuk membeli insurans bagi membolehkannya dilantik sebagai pengawas sekolah atau Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Susulan itu, ibu murid berkenaan telah membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Memetik laporan dari Malaysiakini, Pengarah JPN Selangor, Jafri Abu mengesahkan aduan berkenaan dan siasatan berhubung kejadian akan dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

“Ya, betul dan dalam makluman JPN. dalam penelitian JPN dan siasatan akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang,” katanya.

Menerusi aduan tersebut, ibu berkenaan memaklumkan kerana masalah kewangan mereka terpaksa menolak tawaran untuk membeli insurans. Dan ekoran itu juga, anaknya tidak dilantik sebagai pengawas.

Bagaimanapun, katanya, pasangan suami isteri (pendidik) terbabit tetap memaksa anaknya membuat pembayaran bagi membeli insurans nyawa.

Katanya juga, aduan telah dibuat kepada pihak sekolah, namun tiada tindakan yang dibuat.

Menerusi surat aduan yang turut dikongsikan kepada Menteri Pendidikan dan timbalannya, ibu berkenaan memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PPD mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan.