
SEREMBAN – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menafikan dakwaan murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, di sini, terbabit dalam penyajian minuman beralkohol pada majlis makan malam persatuan bekas murid sekolah itu, September lalu.
JPNS dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan maklumat awal, majlis berkenaan dianjurkan Persatuan Bekas Murid St Paul (OPA) di Regent Hall, Seremban, pada 5 September 2026, iaitu di luar kawasan sekolah.
Bagaimanapun, pihak sekolah dan persatuan alumni turut menafikan dakwaan bahawa murid terbabit dalam penyajian minuman beralkohol pada majlis berkenaan.
Menurut JPNS, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan sedang memuktamadkan siasatan bagi memastikan fakta sebenar dikenal pasti.
“Kebajikan, keselamatan dan maruah murid mesti sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira pihak yang menganjurkan sesuatu program,” menurut kenyataan itu.
JPNS memaklumkan, siasatan terhadap aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sedang dimuktamadkan, termasuk penelitian terhadap pematuhan prosedur oleh pihak sekolah.
Katanya, semua keterangan berkaitan sedang diteliti, termasuk penglibatan murid dalam majlis berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post JPNS nafi dakwaan murid hidang minuman beralkohol di majlis alumni appeared first on Kosmo Online.






