JPNT siasat insiden tiga murid dehidrasi selepas merentas desa

LocalHealth & Fitness
9 Apr 2026 • 11:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan ambulans membawa pelajar yang didakwa mengalami strok haba.

KUALA TERENGGANU – Tiga murid dilaporkan mengalami keletihan dan simptom dehidrasi selepas menyertai program merentas desa yang diadakan di sebuah daerah di negeri ini, pada pagi Rabu.

​Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan membawa murid terlibat ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut selain memaklumkan insiden itu kepada keluarga mangsa.

​Menurutnya, keadaan kesemua murid tersebut dilaporkan stabil termasuk seorang yang telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.

​"Seorang murid sekadar menjalani pemeriksaan tanpa rawatan, manakala seorang lagi dibenarkan keluar hospital semalam selepas menerima tiga botol cecair.

​"Seorang lagi murid pula dipindahkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan atas kehendak ibu bapa dan keadaannya kini sangat stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

​Kamsah menjelaskan, semasa aktiviti berlangsung, suhu dikesan sekitar 28 hingga 30 darjah Celsius dan program berkenaan telah berakhir sepenuhnya pada jam 10.30 pagi.

​Susulan itu, beliau mengingatkan semua pentadbir sekolah supaya menyediakan pasukan penyelamat seperti APM atau Bulan Sabit Merah bagi setiap aktiviti luar bilik darjah, selain sentiasa merujuk portal MetMalaysia bagi memantau tahap cuaca semasa.

​"Jawatankuasa 3K daerah juga telah diminta membuat semakan serta siasatan berkaitan insiden ini untuk diserahkan laporan segera kepada JPNT," ujarnya.

Pada Rabu tular video berdurasi 42 saat memaparkan ambulans membawa pelajar beserta keterangan mendakwa pelajar berkenaan mengalami strok haba.