JPS diminta segera naik taraf benteng pantai Sungai Kajang

13 Sep 2022 • 6:35 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

TANJONG KARANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk mempercepatkan projek menaik taraf benteng pemecah ombak di Pantai Sungai Kajang di sini bagi menangani ancaman fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (gambar) berkata beliau difahamkan sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan kepada JPS bagi menaik taraf kawasan pesisir Sungai Kajang, Bagan Sungai Kajang dan Sungai Janggut namun masih tiada kerja-kerja pelaksanaan dilakukan setakat ini.

“Saya bimbang kalau lambat buat, nanti jika berlaku banjir besar RM10 juta itu tidak cukup dan jika tidak dibuat segera saya ramalkan apabila sampai musim banjir keseluruhan Kampung Kajang akan tenggelam malah mungkin hingga ke seluruh kawasan Tanjong Karang,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan di Pantai Sungai Kajang hari ini.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga memberitahu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memperindah dan menaik taraf Pantai Sungai Kajang sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

“Kita sekarang masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, kita telah tunggu lama dan diharap jabatan itu dapat segera membuat keputusan supaya peruntukan yang diberi dapat dilaksana secepat mungkin,” katanya.-Bernama