
SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Kira-kira 24.7 tan karkas babi yang dipercayai tidak disembelih di rumah sembelihan yang dilulus atau dilesenkan di negara ini dirampas awal pagi pada Jumaat.
Rampasan dibuat anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor itu susulan pemeriksaan dijalankan di sebuah premis di Taman Industri Puchong, di sini.
JPV negeri berkata, karkas babi berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dan diimport dari luar negara.
"Karkas babi ini disyaki diimport dari negara Brazil, tetapi kita tidak menemui sebarang bukti atau elemen yang menyatakan ia datangnya dari negara tersebut.
"Setelah membuat pemeriksaan kita dapati karkas-karkas tersebut tidak mempunyai tanda taging atau sampling yang sah dari rumah penyembelihan veterinar di negara ini.
"Jadi kita mengambil tindakan di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009," kata agensi itu ketika ditemui Sinar Harian di Taman Industri Puchong pada Jumaat.
Operasi sepasukan anggota JPV Selangor itu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Verterinar, Muhamad Munzir Omar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, JPV Selangor turut memaklumkan kes kaedah penyembelihan import berkenaan adalah kes pertama membabitkan karkas babi di negeri Selangor pada tahun ini.
Tambahnya, pemantauan berterusan akan digiatkan dari masa ke masa bagi memastikan karkas dipasarkan adalah selamat untuk makanan manusia.
“Karkas babi yang dirampas ini akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut dan kita juga akan memohon perintah mahkamah untuk melupuskannya selepas ini,” katanya.
