JR wanita Umno Padang Besar galas tugas kempen untuk Zahida

Politics
13 Nov 2022 • 11:33 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PADANG BESAR: Memahami kekangan dihadapi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Besar Datuk Zahida Zarik Khan untuk berkempen secara fizikal disebabkan masih dalam tempoh idah, Jalinan Rakyat Wanita Umno bahagian itu bertekad menggalas tugas berkenaan atas semangat Umno dan BN.

Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Padang Besar Haslinda Ahmad yang menjadi wakil calon kepada Zahida berkata selain melakukan kempen secara maya, beliau turut membuat panggilan video kepada Zahida apabila turun padang bagi membolehkan pengundi berinteraksi dengan beliau.

“Kita faham Zahida tidak boleh keluar berkempen, atas semangat Umno dan BN kita telah gerakkan lebih 2,000 jentera untuk pergi ke semua peringkat cawangan dan kampung untuk memenangi hati rakyat di sini.

“Sebenarnya jauh di sudut hati beliau (Zahida) mahu bertemu dengan semua pengundi di Padang Besar tapi setelah dinasihatkan oleh agamawan menyebabkan beliau hanya mewakilkan kami sebagai membantu dirinya untuk berkempen,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno itu kematian suaminya pada Ogos lepas menyebabkan pergerakan beliau terbatas kerana dalam tempoh idah selain mahu dirinya memenuhi tuntutan syarak.

Haslinda yang mesra dengan panggilan Kak Linda berkata Zahida ialah seorang yang cergas dan pantas dalam melaksanakan gerak kerja parti malah beliau ialah individu yang lantang mengutarakan pandangan untuk manfaat masyarakat.

Beliau berkata meskipun tempoh kempen hanya berbaki kurang seminggu sebelum hari mengundi pada 19 Nov ini, penerimaan orang ramai mula menunjukkan tanda positif.

Sementara itu, bapa saudara sepupu kepada Zahida, Aziz Itam ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata beliau turut turun padang membantu anak saudaranya itu berkempen.

“Pak Ngah sendiri bantu beliau (Zahida) berkempen di kawasan sini iaitu Santan di semua cawangan di sini,” kata Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Kampung Santan Utara.

Menurutnya, tayangan video menerusi skrin layar juga dibuat untuk pengundi di sini mengenali Zahida.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Zahida berdepan penyandang kerusi itu iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin (Bebas), Datuk Rushdan Rusmi (PN), Mohamad Saad @ Yahya (PH) dan Ko Chu Liang (Warisan).-Bernama