JS Solar sasar kumpul RM24.18 juta melalui IPO di Pasaran ACE bagi pengembangan perniagaan

28/08/2025 - 17:13
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Ogos - JS Solar Holding Berhad merancang untuk mengumpul RM24.18 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai pengembangan dan mengukuhkan perniagaan solar fotovoltaik (PV) syarikat itu.
Melalui anak-anak syarikatnya, JS Solar menawarkan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta perkhidmatan kontrak untuk sistem solar PV, disokong perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M).
JS Solar berkata, daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM24.18 juta itu, sebanyak RM12.72 juta atau 52.6% akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank.
Sejumlah RM3.2 juta (13.2%) diperuntukkan bagi yuran pengawalseliaan dan kos pengubahsuaian pejabat baharu, manakala RM4.2 juta (17.4%) disalurkan bagi perbelanjaan penyenaraian.
Selain itu, sejumlah RM2.51 juta (10.4%) diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala RM1.5 juta (6.4%) disediakan untuk pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran.
IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 78 juta saham biasa baharu, bersamaan 24% daripada modal saham terbitan diperbesarkan, serta tawaran untuk jualan 19.5 juta saham sedia ada, iaitu 6% daripada modal saham tersebut.
“Pelancaran prospektus hari ini merupakan pencapaian penting bagi JS Solar ketika kami melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya. Dengan rekod prestasi kukuh, kami berada dalam kedudukan baik untuk mengembangkan operasi di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.
“Hasil IPO akan digunakan antaranya untuk pengembangan perniagaan dan memperkukuh kedudukan pasaran kami dalam industri solar PV,” kata Pengarah Urusannya, Johnson Chai Jeun Sian.
Setakat 31 Julai lalu, kumpulan itu merekodkan buku tempahan belum dibil berjumlah RM39.74 juta, terdiri daripada RM34.33 juta bagi perkhidmatan EPCC, RM3.49 juta daripada kontrak projek utiliti berskala besar, dan RM1.93 juta daripada perkhidmatan O&M.
Pendapatan JS Solar meningkat daripada RM70.27 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) kepada RM186.53 juta pada FY25, didorong projek utama termasuk projek 50MWac di Kulim Hi-Tech Park dan projek 5.9MWac di Tawau, selain sumbangan stabil daripada segmen komersial dan industri (C&I).
Selepas disenaraikan, JS Solar dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM100.75 juta, berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 325 juta saham dan harga IPO 31 sen sesaham.
Permohonan untuk terbitan awam ini dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 9 September pada pukul 5 petang, dengan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities dijadualkan pada 23 September 2025.
TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd pula merupakan penasihat kewangan untuk urusan IPO ini. - DagangNews.com
standard

