JTNK lengkap 13 kertas siastan kes tipu pekerja asing

16 Jan 2024 • 9:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah menyiapkan 13 kertas siasatan berkaitan lima majikan yang dipercayai menipu pekerja asing untuk mendapatkan pekerjaan tidak wujud di Pengerang, Johor.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan dan ketidakpatuhan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di sini hari ini, beliau berkata kertas siasatan itu akan disemak oleh timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh yang berjalan kaki secara beramai-ramai di Pengerang seperti yang dirakam dalam video yang menjadi tular pada 25 Dis lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said pula dilaporkan berkata kira-kira 2,500 pekerja asing ditipu syarikat serta ejen pekerjaan mereka berada di Pengerang.

Sementara itu Sim berkata majikan yang membawa pekerja asing masuk ke negara ini perlu membayar gaji mereka walaupun mereka tidak diberikan kerja.

“Pendirian kita di Kementerian Sumber Manusia (KSM) jelas, bahawa pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak dibayar gaji oleh majikan atas alasan tiada kerja dilakukan walaupun pekerja itu bersedia dan sanggup - ini merupakan satu kesalahan serius.

“Pekerja berhak terhadap gajinya walaupun tiada kerja diberikan selaras dengan peruntukan (dalam) Akta Kerja 1955,“ katanya. -Bernama

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong (kanan)/BERNAMAPix