Susulan tular mengenai luahan seorang pengguna yang tidak berpuas hati dengan harga air mineral yang dijual di sebuah kedai, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan.
Premis berkenaan yang terletak di Lukut, Negeri Sembilan telah dikenakan kompaun RM200.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kompaun serta-merta telah dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“KPDN menerima maklumat awam berkaitan air mineral 1.25 liter yang dijual dengan harga RM10.
“Berikutan aduan tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis tersebut pada jam 11 pagi Rabu,” katanya.
Menurutnya, premis berkenaan telah gagal meletakkan tanda harga pada air mineral yang dipamer untuk jualan.
Kesalahan ini katanya telah melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.
“Peniaga dinasihatkan supaya meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan sekali gus memudahkan pengguna membuat pembelian secara berhemah,” katanya.
Terdahulu, tular seorang pengguna terkejut dengan harga sebotol air mineral yang mencecah RM10 yang dijual di sebuah kedai makan di Port Dickson. Walaupun sudah mempersoalkan harga berkenaan, namun pemilik kedai berkenaan memaklumkan harga air mineral berkenaan mahal kerana jenamanya.
The post Jual air mineral RM10, peniaga di Lukut dikenakan kompaun RM200 appeared first on The Reporter.





