Jual tanah P.Pinang untuk tampung perbelanjaan, bukan langkah baik - Ketua Pembangkang DUN

LocalPolitics
27 Nov 2023 • 4:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof hari ini mengingatkan kerajaan negeri bahawa hasil penjualan tanah untuk menampung perbelanjaan kerajaan bukan langkah terbaik.

Muhammad Fauzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Jumaat lepas dilihat sebagai kali pertama perbelanjaan melebihi RM1 billion berbanding pendapatan sebanyak RM533.08 juta, iaitu mengalami defisit RM514.52 juta atau 55 peratus.

Beliau berkata hasil penjualan tanah untuk menampung perbelanjaan kerajaan adalah satu langkah yang menyebabkan negeri semakin kehilangan aset berharga.

“Jangan sampai semua tanah negeri ini tergadai kepada pihak lain,” katanya ketika ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2024 pada persidangan DUN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri mengusahakan tanah kerajaan dengan kaedah kerjasama awam swasta atau usaha sama sektor kerajaan dan swasta.

Muhammad Fauzi berkata belanjawan itu dilihat mengalami defisit bermula 2011 hingga 2024 menyebabkan rizab semakin mengecil atau tabung semakin menjatuh sehingga RM1.67 bilion pada 15 Nov lepas.

“Trend ini sangat tidak sihat kepada kewangan negeri Pulau Pinang. Jika strategi ini berterusan maka dibimbangi kewangan kerajaan negeri tidak lestari untuk jangka masa panjang,” katanya yang turut meminta kerajaan memberi penyelesaian dalam mengisi tabungan rizab dan mengecilkan defisit.

Jumaat lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion iaitu sebanyak RM1.047 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM374.718 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Chow berkata tahun hadapan, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM533.08 juta dan akan menjadikan Belanjawan 2024 mengalami defisit sebanyak RM514.53 juta. -Bernama