Jualan automotif 2026 dijangka susut 8% kepada 755,000 unit ekoran tekanan kos sara hidup tinggi – CGSI

LocalCars
21 Apr 2026 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan automotif 2026 dijangka susut 8% kepada 755,000 unit ekoran tekanan kos sara hidup tinggi – CGSI image is not available liza21/04/2026 - 12:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 April – Sektor automotif Malaysia dijangka mencatatkan penurunan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 8% kepada 755,000 unit pada tahun 2026, menurut unjuran CGS International, sekali gus mengekalkan pandangan Neutral terhadap sektor tersebut.

 

Penurunan tersebut disebabkan oleh jualan kenderaan yang tinggi pada 2025 akibat pembelian awal sebelum pelarasan cukai eksais. Ini menjadikan pertumbuhan pada 2026 kelihatan lebih lemah apabila dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

 

CGSI berkata  jualan pada April hingga Mei 2026 akan kekal lemah disebabkan faktor bermusim serta ketidaktentuan harga bahan api yang boleh menangguhkan keputusan pembelian pengguna, sebelum permintaan dijangka kembali pulih pada separuh kedua 2026.

 

“Tekanan kos sara hidup yang masih berterusan turut menjadi faktor utama yang menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan besar, termasuk pembelian kenderaan baharu.

 

“Dari segi prestasi pasaran, Perodua dijangka mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dengan pegangan sekitar 40% hingga 45% pada 2026, walaupun sedikit penurunan berbanding sebelumnya, manakala Proton mencatat peningkatan pegangan pasaran daripada sekitar 19% kepada 27% pada Mac 2026, disokong pelancaran model EMAS 5 dan Saga MC3,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Firma itu berkata Perodua masih kekal dominan dalam segmen mampu milik berikutan tekanan kos sara hidup yang tinggi serta keperluan mobiliti asas pengguna.

 

Bagi saham pilihan, Bermaz Auto kekal dengan saranan Pegang dan harga sasaran RM0.94. Syarikat itu dijangka mendapat sokongan daripada pemulihan pendapatan berasaskan peningkatan volum Mazda 3 serta langkah mengoptimumkan kos selepas keluar daripada Kia, namun pertumbuhan masih terhad berikutan persaingan sengit, khususnya daripada pengeluar kenderaan China yang semakin agresif dalam pasaran.

 

Sementara itu, Sime Darby Bhd menjadi pilihan utama sektor dengan saranan Tambah dan harga sasaran RM2.50. 

 

CGSI berkata syarikat itu dijangka mendapat manfaat daripada peralihan permintaan kepada kenderaan elektrik (EV) dan segmen mampu milik melalui pegangan dalam Perodua menerusi UMW, selain sokongan daripada bahagian industri yang dijangka meningkat hasil aktiviti perlombongan serta pemulihan aktiviti industri global.

 

Di samping itu, Sime Darby turut dilihat menarik dari sudut penilaian, dengan dagangan pada 9.3x CY27F P/E serta menawarkan hasil dividen sekitar 6.1% bagi CY26F, menjadikannya antara pilihan utama dalam sektor automotif.

 

Secara keseluruhannya, sektor automotif Malaysia kekal Neutral, dengan pertumbuhan yang sederhana pada 2026, dipengaruhi gabungan faktor kesan asas tinggi, kos sara hidup, ketidaktentuan harga bahan api serta perubahan struktur permintaan ke arah EV dan kenderaan mampu milik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved