Jualan boleh cecah RM800 sehari pada hujung minggu, cuti perayaan

LocalBusiness & Finance
21 Jun 2025 • 8:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kamal Idharuddin berkata pendapatannya meningkat selepas berniaga di MyKiosk di Pantai Teluk Sisek.

KUANTAN – Bermula dengan hanya di but kereta dan meja lipat, seorang pemuda berusia 22 tahun kini mampu meraih pendapatan mencecah RM800 sehari pada hujung minggu hasil jualan makanan di MyKiosk Pantai Teluk Sisek, di sini.

Peniaga makanan, Kamal Idharuddin Kamal Arifin berkata, perubahan ketara itu mula dirasai selepas dia berpindah ke kiosk yang disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sejak tahun lalu.

“Sebelum ini saya hanya berniaga pada hujung minggu, bentang meja atas pasir dan jual dari but kereta... kalau hujan, barang basah dan rugi.

“Tapi sekarang semuanya lebih mudah sebab barang boleh disimpan dalam kiosk dan saya tak perlu angkut setiap hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Teluk Sisek, atau lebih dikenali sebagai Pantai Tembeling pada Jumaat.

Menurutnya, lokasi strategik tapak MyKiosk memberi keselesaan kepada pelanggan, terutama pada waktu malam dan hujung minggu.

Jelasnya, antara menu yang dijual di kiosk MODMAL miliknya ialah nasi lemak ponjot, burger rangup, bubur ayam rangup, tortilla, chic tender, popia BigMac, kek coklat lembap dan roti bakar sosej keju.

“Kiosk saya dibuka setiap Rabu hingga Ahad, dari jam 5.30 petang hingga 12 tengah malam. Pada hujung minggu, pelanggan boleh lepak sampai pukul 3 pagi,” katanya.

Berkenaan hasil jualan, Kamal Idharuddin berkata, pendapatannya kini sekitar RM300 hingga RM400 pada hari biasa.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu meningkat sehingga RM800 sehari pada hujung minggu, selain bergantung kepada cuaca.

“Sambutan sekarang jauh lebih baik berbanding dahulu semasa saya berniaga dari but kereta di tepi pantai.

“Pelanggan pun lebih selesa dan suasana lebih tersusun. Setakat ini, tiada sebarang masalah sejak saya berniaga di sini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kadar sewa MyKiosk yang rendah iaitu hanya RM80 sebulan turut membantu ramai peniaga kecil memulakan perniagaan tanpa beban kos yang tinggi.

“Saya galakkan peniaga yang belum ada tapak tetap untuk mohon segera kerana masih banyak kiosk kosong. Saya sendiri pilih MyKiosk sebab lebih selesa, untuk saya dan pelanggan,” katanya.