Jualan kenderaan diramal susut 4% pada 2026 disebabkan ketidaktentuan ekonomi – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
9 Apr 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan kenderaan diramal susut 4% pada 2026 disebabkan ketidaktentuan ekonomi – MBSB Research image is not available amree09/04/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 April – Prospek sektor automotif tempatan dijangka berdepan tekanan sederhana tahun ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi mengekang permintaan pengguna, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi berkenaan susulan kitaran penggantian kenderaan lama kepada model baharu yang mula perlahan, disokong oleh faktor peningkatan kos bahan api semasa.


Ia menjangkakan jumlah volum industri (TIV) bagi tahun kalendar 2026 (CY26) kembali normal kepada 788,000 unit, menyusut 4% tahun ke tahun (YoY) selepas pertumbuhan empat tahun berturut-turut.


"Prestasi Februari 2026 adalah dalam jangkaan apabila mencatatkan 52,414 unit, susut 18.5% bulan ke bulan (MoM) disebabkan faktor bermusim termasuk cuti Tahun Baharu Cina," kata MBSB Research.


Bagaimanapun, jumlah terkumpul dua bulan pertama (2MCY26) masih meningkat sedikit sebanyak 0.8% kepada 116,712 unit, didorong jualan kukuh pada Januari 2026 disebabkan tempahan yang tertunggak.


Ia susulan pelancaran banyak model baharu hujung tahun lalu, dengan prestasi kenderaan penumpang terus disokong jenama nasional, khususnya Proton yang mencatat pertumbuhan 10% YoY dalam 2MCY26.


Sebaliknya kata MBSB Research, segmen bukan nasional merosot 21.2% dengan Honda dan Toyota masing-masing mencatat penurunan 41.4% dan 28.5%, sekali gus memberi tekanan kepada keseluruhan pasaran.
 

image is not available


"Kami namun menjangkakan jualan pulih pada Mac 2026, disokong musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, dan kebanyakan pengeluar utama di landasan untuk mencapai sasaran jualan tahun ini," katanya.


Antaranya jelas firma penyelidikan tersebut, Perodua mencatatkan TIV 74,233 unit setakat Mac 2026, manakala Proton merekodkan 48,440 unit atau 24% daripada sasaran tahunan sebanyak 200,000 unit.


Honda pula tambah MBSB Research, sudah mencapai sejumlah 13,618 unit atau kira-kira 23% daripada sasaran tahunan, manakala Toyota mencatatkan sebanyak 22,208 unit bagi tempoh suku pertama 2026.


Ujarnya, dalam segmen kenderaan elektrik (EV), Proton muncul sebagai eneraju dengan jualan 8,197 unit pada suku pertama, didorong model e.MAS 5 yang menyumbang 82% daripada jumlah tersebut.


"Momentum turut meningkat bagi model terbaharu iaitu e.MAS 7 susulan langkah peralihan kepada pemasangan tempatan yang menyebabkan penurunan harga di pasaran domestik," kata firma berkenaan.


Sementara itu kata MBSB Research, BYD berada di tempat kedua dengan 2,261 unit, namun rancangan syarikat tersebut untuk membangunkan kilang pemasangan tempatan berdepan isu ketidaktentuan.


Ia berikutan syarat ketat kerajaan termasuk keperluan eksport 80% dan had jualan domestik, dengan Proton dijangka menjadi penerima manfaat utama kerana model e.MAS bersaing dalam segmen sama.

 

image is not available


Firma penyelidikan berkenaan turut menekankan mengenai isu kenaikan kos bahan api semasa susulan faktor luaran seperti konflik geopolitik antarabangsa memberi kesan kepada permintaan minyak.


"Kenderaan berenjin petrol sebenarnya masih lagi mendominasi pasaran automotif di Malaysia dengan pegangan besar sebanyak 85%, diikuti diesel (6%), EV (5%) dan hibrid (4%)," tambah MBSB Research.


Walaupun subsidi bersasar RON95 membantu mengekalkan kos bagi pengguna massa, peningkatan harga bagi pengguna tidak bersubsidi dijangka mempercepatkan peralihan kepada kenderaan cekap bahan api.


Bagi segmen komersial pula jelas firma tersebut, peningkatan kos diesel dijangka boleh menyebabkan pengendali lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal serta menangguhkan usaha perluasan armada.


Seiring prospek sektor auromotif tempatan yang lebih mencabar, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MBM Resources Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM6.00 sesaham.


"Syarikat pengedaran pelbagai jenama itu disokong pendedahan kukuh kepada Perodua dalam segmen pasaran massa berdaya tahan, selain manfaat daripada pergerakan mata wang yen Jepun," ujarnya.


Selain itu katanya, saham kumpulan tersebut diniagakan pada paras satu sisihan piawai di bawah purata lima tahun dan menawarkan hasil dividen menarik sekitar 10.6%. - DagangNews.com

Terkini standard