Jualan kenderaan global dijangka lebih perlahan tahun depan – Fitch Ratings

Business & Finance
28 Nov 2023 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan kenderaan global dijangka lebih perlahan tahun depan – Fitch Ratings

diyana

28/11/2023 - 16:18

KUALA LUMPUR 28 Nov - Jualan kenderaan global dijangka terus berkembang pada 2024 tetapi pada kadar lebih perlahan disebabkan keadaan ekonomi lebih lemah dan kadar faedah lebih tinggi, menurut Fitch Ratings.

Namun begitu, agensi penarafan global itu berkata ia menjangkakan kunci kira-kira yang kukuh akan menyokong kebanyakan profil kredit pembuat kereta rantau Asia Pasifik (APAC).

Fitch dalam satu kenyataan berkata permintaan kenderaan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kekal teguh pada 2023, walaupun kadar faedah lebih tinggi, dan kekangan bekalan telah berkurangan tetapi tahap inventori kekal rendah.

Menurut firma itu, keimbangan bekalan/permintaan kekal menggalakkan, walaupun paras insentif lebih tinggi pada 2023, terutamanya dalam pasaran AS.

Fitch meramalkan kemelesetan yang sederhana di AS pada awal 2024, yang boleh menekan permintaan.

“Bagaimanapun, unjuran kami sebanyak 16 juta unit, pertumbuhan 5% daripada 2023, masih jauh di bawah paras sebelum pandemik sebanyak 17 juta.

"Kami juga menjangkakan pertumbuhan perlahan di Eropah dan permintaan meningkat sebanyak 4% hingga 5% pada 2024," katanya.

Sementara itu, Fitch berkata pertumbuhan jualan kenderaan penumpang di China lebih lemah pada 2023, dengan pertumbuhan tinggi jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) mengimbangi penurunan jualan kenderaan enjin pembakaran dalaman.

“Kami menjangkakan trend tersebut berterusan pada 2024, dengan jualan kenderaan penumpang menyaksikan pertumbuhan rata hingga rendah satu digit.

“Jualan kenderaan elektrik (EV) terus mengatasi jualan keseluruhan di pasaran utama, dengan jumlah yang berbeza-beza.

"Kami percaya jualan dan penembusan NEV di China sepatutnya menunjukkan pertumbuhan yang teguh pada 2024, tetapi jualan EV harus berkembang pada kadar lebih rendah di pasaran lain, seperti AS," tambahnya.

Fitch berkata harga kenderaan secara relatifnya kekal berdaya tahan di AS dan Eropah pada 2023 tetapi boleh menjadi lemah pada 2024, disebabkan campuran normalisasi dan insentif yang lebih tinggi, dalam keadaan pertumbuhan jualan yang sederhana.

"Kami percaya persaingan harga yang teruk dalam pasaran EV China mungkin berterusan, memandangkan harga agresif jenama EV tempatan dan usaha jenama usaha sama pembuat kereta global untuk mengejar jualan EV," katanya. - DagangNews.com