Jualan Kereta Melonjak Pada Nov, Permintaan EV Turut Meningkat

LocalCars
20 Dec 2025 • 5:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendedahkan jualan kenderaan mencatatkan prestasi memberangsangkan pada bulan lepas disebabkan kempen promosi agresif serta peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) menjelang tamat pengecualian cukai.

MAA berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi November 2025 adalah sebanyak 72,509 unit dimana angka itu dlilhat meningkat 5.5 peratus berbanding 68,749 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh segmen kenderaan penumpang (PV) yang mencatat jualan sebanyak 67,308 unit, naik 5.8 peratus berbanding November 2024, manakala jualan kenderaan komersial (CV) turut meningkat satu peratus kepada 5,201 unit.

BERIKUT ADALAH DATA JUALAN KERETA:

image is not available

MAA mendakwa, prestasi positif jualan November adalah disebabkan kesinambungan kempen promosi agresif yang dilancarkan pengeluar dan pengedar sejak Oktober lalu, selain fenomena pembelian pantas kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU).

"Pengguna dilihat mempercepatkan pembelian EV susulan pengumuman Belanjawan 2026 berhubung penamatan pengecualian cukai bagi EV CBU menjelang akhir Disember tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Dari segi pengeluaran, industri automotif menghasilkan 62,829 unit kenderaan pada November 2025, meningkat dua peratus berbanding 61,462 unit dalam tempoh sama tahun lalu, disokong oleh peningkatan pengeluaran kenderaan penumpang.

Bagi tempoh kumulatif Januari hingga November 2025, jumlah jualan mencecah 727,836 unit, sedikit rendah berbanding 736,317 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, untuk bulan ini, MAA menjangkakan momentum jualan yang kukuh akan berterusan, berikutan promosi akhir tahun serta permintaan berterusan terhadap EV menjelang tarikh tamat insentif cukai.