Jualan langganan penerbangan peribadi Vista Global lonjak 55% didorong permintaan yang kian meningkat
diyana
16/05/2023 - 15:42
KUALA LUMPUR 16 Mei - Vista Global Holding Limited (Vista Global) telah mencatatkan pertumbuhan dua angka dan momentum jualan kukuh pada suku pertama 2023 (1Q23).
Menurut kumpulan itu, keputusan 1Q23 itu disokong oleh peningkatan 55% tahun ke tahun (YoY) dalam jualan program dengan kira-kira 9,000 jam tahunan kasar telah dijual pada suku tersebut.
“Pertumbuhan diterajui oleh Amerika Syarikat berikutan pelaburan besar dan jam tahunan program terjual pada suku tersebut meningkat dua kali ganda berbanding suku yang sama tahun lepas.
“Pertumbuhan kukuh turut disaksikan di Timur Tengah yang meningkat hampir 50% YoY dan merupakan wilayah kedua terkuat dengan pelanggan baharu pada suku tersebut.

“Di seluruh dunia, lebih 50% jam yang dijual pada 1Q23 adalah kepada pelanggan sedia ada, terutamanya di Eropah dan Asia, menunjukkan kekuatan dan ketahanan produk ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini bagi 2023, kumpulan itu mempunyai lebih 200 pesawat dengan hiasan dalaman standard perak dan merah syarikat serta produk VistaJet.
Pada 1 Mei 2023, kumpulan itu berjaya melaksanakan strategi pembiayaan semula untuk tahun ini dengan bon lima tahun Senior Unsecured baharu bernilai AS$500 juta yang terlebih langgan dua kali.
“Ini mengukuhkan pandangan positif daripada semua agensi penarafan kredit kumpulan, termasuk S&P, Fitch dan Moody’s, yang mengesahkan atau menaik taraf kedudukan Vista susulan audit tahun kewangan 2022 dikeluarkan pada April,” tambahnya.
Pengasas dan Pengerusi Vista, Thomas Flohr berkata kumpulan itu terus melihat tahap permintaan yang belum pernah berlaku sebelum ini daripada pelanggan sedia ada dan baharu di seluruh pasaran dengan jualan jam langganan yang banyak.

“Penyelesaian bebas aset kami yang dipacu teknologi memenuhi keperluan setiap pengguna penerbangan peribadi dan kami komited sepenuhnya untuk berinovasi dan memajukan penyelesaian penerbangan di setiap sudut dunia.
“Vista mempunyai rekod pertumbuhan 19 tahun yang terbukti dan dasar kewangan berhemat yang membolehkan kumpulan membina infrastruktur global kami bagi menyokong pelanggan,” tambahnya. -DagangNews.com
