Jualan Mac Proton Rekod Prestasi Suku Pertama Tertinggi Sepanjang 22 Tahun

LocalBusiness & Finance
3 Apr 2026 • 9:56 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Jualan Mac Proton Rekod Prestasi Suku Pertama Tertinggi Sepanjang 22 Tahun

Syarikat automotif nasional, PROTON, mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada bulan Mac, sekali gus melonjakkan jumlah jualan suku pertama (Q1) ke tahap tertinggi dalam tempoh 22 tahun dan terbaik sejak 2022. 

Sebanyak 15,706 unit kenderaan telah dijual pada bulan lalu merangkumi model enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV).

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.4% berbanding Februari serta 12.8% lebih tinggi berbanding Mac 2025. Secara keseluruhan, jumlah jualan bagi Q1 mencecah 49,140 unit, bersamaan pertumbuhan tahun ke tarikh (YTD) sebanyak 40.1%.

Prestasi ini turut mencerminkan pencapaian PROTON yang mengatasi trend semasa industri automotif negara, apabila Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan menyusut sebanyak 4.9% dalam tempoh yang sama. 

Seiring itu, pegangan pasaran PROTON bagi bulan Mac dianggarkan pada 25.1%, manakala pegangan pasaran YTD dijangka mencapai 27.4%, iaitu paras tertinggi sejak tahun 2017.

image is not available

Proton e.MAS pacu pertumbuhan segment kenderaan tenaga baharu 

Jenama tenaga baharu PROTON, Proton e.MAS, menamatkan tahun 2025 sebagai jenama EV kedua paling popular di Malaysia, manakala Proton e.MAS 7 muncul sebagai model EV dengan jumlah jualan tertinggi di negara ini. Dengan pengenalan Proton e.MAS 5 serta pelancaran terkini Proton e.MAS 7 PHEV, momentum jualan terus menunjukkan peningkatan ketara. 

Bagi bulan Mac, sebanyak 3,023 unit telah dijual oleh Proton e.MAS 5 dengan 2,071 unit. Jumlah jualan YTD bagi Q1 kini mencecah 6,701 unit, sekali gus menjadikannya model EV paling laris di Malaysia.

Dalam masa sama, sebanyak 646 unit Proton e.MAS 7 PHEV berjaya dijual pada bulan pertama penuh jualannya, manakala Proton e.MAS 7 EV mencatatkan peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut kepada 306 unit. 

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, “Kami amat menghargai sambutan positif rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS sejak pelancarannya pada tahun 2024.

Program jangkauan komuniti kami untuk memperkenalkan teknologi EV serta usaha membina keyakinan melalui rangkaian pengedar yang komprehensif dan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses kini mula membuahkan hasil.

Pencapaian jualan ini membuktikan penerimaan tersebut dan sasaran kami adalah untuk menjadikan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan tenaga baharu nombor satu menjelang 2026.”

image is not available

Model ice PROTON terus meningkatkan prestasi di pasaran 

Dengan tiga pelancaran model baharu dalam Q1, rangkaian model ICE PROTON kini tampil dengan penambahbaikan dari segi enjin dan teknologi bagi menawarkan nilai yang lebih baik kepada pelanggan. 

Diperkenalkan pada Februari, Proton S70 terus mendapat sambutan khususnya dalam kalangan pembeli muda yang mencari sedan keluarga yang sporty dan luas.

Sebanyak 2,254 unit telah dijual pada bulan Mac, merupakan prestasi terbaik sejak Februari 2024, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai sedan segmen-C paling laris. Malah, jumlah jualannya turut mengatasi beberapa model segmen-B, satu pencapaian penting bagi model ini.

image is not available

Dilancarkan semasa Ramadan dan diposisikan sebagai “SUV 7-tempat duduk sebenar yang selesa”, Proton X90 mencatatkan kebangkitan semula dengan jualan tertinggi dalam tempoh lebih 12 bulan.

Walaupun tidak menikmati tempoh jualan sebulan penuh, sebanyak 323 unit berjaya dijual pada bulan Mac, menjadikannya SUV segmen-D 7-tempat duduk paling laris. Berdasarkan tempahan yang kukuh, jumlah jualan dijangka terus meningkat dalam bulan-bulan akan datang. 

Dilancarkan pada November 2025, Proton Saga baharu kekal sebagai tunjang utama rangkaian model ICE PROTON. Jualan sebanyak 5,438 unit pada bulan Mac menjadikan jumlah jualan Q1 kepada 21,770 unit, atau purata lebih 7,256 unit sebulan, mewakili peningkatan 38% berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Proton X50 terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju SUV segmen-B dengan jualan sebanyak 3,265 unit pada bulan Mac, menjadikan jumlah jualan Q1 kepada 7,571 unit, meningkat 48% berbanding tempoh sama tahun 2025.

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, “Prestasi jualan PROTON bagi Q1 adalah hasil pelaburan berterusan dalam teknologi, rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualan yang telah meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami.

Usaha ini turut merangkumi program pemasangan dan lokalisasi yang memberi nilai lebih baik kepada pelanggan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara. 

“Walaupun model ICE menunjukkan pemulihan jualan yang kukuh, PROTON turut mengambil kira keperluan pengguna sekiranya berlaku peningkatan harga bahan api.

Oleh itu, model-model terkini kami menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik serta kos penyelenggaraan yang rendah. Pada masa yang sama, melalui Proton e.MAS, kami menyediakan laluan yang lebih mudah untuk pelanggan beralih kepada teknologi EV dan PHEV.”