Jualan murah: Berbaloi beratur seawal 7 pagi, beli barangan dapur tidak sampai RM50

17 Jan 2023 • 3:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 17 JAN: Seorang warga emas Rosli Ahmad, 64, sanggup datang seawal 7 pagi di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Kuang untuk mendapatkan nombor giliran bagi membeli barangan asas murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) hari ini.

image is not available
Rosli Ahmad. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Bagaimanapun pesara itu tidak menyangka kerana hampir 100 pengunjung lebih awal tiba bagi tujuan sama meskipun jualan murah bermula 10 pagi.

“Saya ingat datang paling awal, rupanya ada ramai yang datang sebelum jam 7 pagi kerana bimbang tidak mendapat nombor giliran bagi membeli barangan asas murah.

“Sememangnya jualan murah ini ditunggu-tunggu rakyat Selangor, saya sendiri seronok bila dengar program ini bermula semula. Bayangkan saya dapat beli seekor ayam, sepapan telur, sekampit beras, satu pek ikan dan daging dengan harga RM46 sahaja. Kalau beli di kedai tidak cukup duit tu,’’ katanya.

image is not available
Ummi Salamah Ishak. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Bagi Ummi Salamah Ishak, 36, yang tinggal di Blok 26, Bandar Tasik Puteri, dia gembira kerana JER telah kembali kerana dapat membeli barangan pada harga murah dan berkualiti.

“Saya datang sebelum 7.30 pagi tapi nombor giliran yang ada 300 dah habis. Namun saya dapat juga beli telur, ayam, daging dan beras.

“Suri rumah anak enam yang kesemuanya masih bersekolah seperti saya amat memerlukan bantuan jualan murah seperti ini kerana dapat jimat duit lauk yang suami beri. Saya harap jualan murah ini dibuat selalu,’’ katanya.

image is not available
B Saraswati. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Sementara itu, B Saraswati, 40, dari Batu Arang, Rawang sanggup meminta pelepasan kerja daripada majikannya untuk datang ke program jualan murah itu.

“Saya seorang pekerja pembersihan dengan gaji RM1,500. Jualan murah ini memang sangat membantu jimat banyak belanja dapur. Suami saya yang telah mencapai usia emas tidak lagi bekerja dan dua anak masih belajar di kolej,’’ katanya yang membeli telur, ayam dan beras.

JER menawarkan pelbagai barangan murah seperti ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.