Jualan murah di Gombak catat nilai jualan RM40,000

8 Jul 2022 • 3:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

GOMBAK, 8 JULAI: Jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Taman Gombak Permai di sini, mencatat nilai jualan hampir RM40,000.

Pengurus Pemasarannya Md Saad Mahsah berkata sambutan amat memberangsangkan apabila banyak barangan asas habis dijual hanya dalam tempoh beberapa jam.

“Sebanyak 300 paket minyak masak habis dijual dalam tempoh kurang sejam. Malahan 1,500 ayam juga habis.

“Ramai pembeli memuji dan berharap karnival seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap dan tidak hanya pada musim perayaan,” katanya hari ini.

Menurutnya, jualan yang dijadualkan bermula jam 9 pagi terpaksa diawalkan memandangkan pengunjung sudah beratur sejak jam 7 pagi.

Selain telur dan ayam, daging pejal segar turut dijual pada RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak paket.

Bermula di Sijangkang pada 5 Julai, karnival empat hari diteruskan di Bukit Beruntung dan Tanjung Sepat.

Selain jualan di sini, karnival sama turut berlangsung serentak di belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.

Sejak Disember tahun lalu, jualan murah PKPS sudah berlangsung di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.