Jualan murah DUN Bandar Utama, 200 papan telur terjual dalam 40 minit 

1 Apr 2023 • 4:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA , 1 APRIL: Telur menjadi barang keperluan asas paling laris dan pilihan utama pengunjung pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

image is not available
Pengurus Fasiliti Bangunan PKPS, Mohd Ridwan Azmi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengurus Fasiliti Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Ridwan Azmi berkata lebih 200 papan telur terjual dalam tempoh 40 minit selepas jualan dibuka pada jam 10 pagi.

“Alhamdulillah setakat ini ramai yang dapat beli telur biarpun dalam tempoh 40 minit mulakan jualan.

“Disebabkan itu, bagi berlaku adil dan pastikan semua berpeluang beli, kita hadkan pembelian hanya sepapan telur dan dua ekor ayam untuk setiap pengunjung,” katanya ketika ditemui di gelanggang bola keranjang Kampung Cempaka di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ridwan memaklumkan PKPS masih menyediakan bekalan 500 ekor ayam, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 pek ikan, 300 kampit beras dan 150 botol minyak masak untuk jualan murah sepanjang Ramadan.

Jelasnya, barangan jualan JER mungkin ditambah sempena jualan mega menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

image is not available
ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

image is not available
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI