PAPAR: Penduduk tempatan di sini berpeluang membeli barangan keperluan makanan mereka pada harga lebih murah di bawah program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kedai Runcit Domio di Kg Nagapas, di sini setiap hujung minggu bermula esok (17 September) dan Ahad.
Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim berkata mereka berpeluang menikmati diskaun 20 peratus ke atas harga pasaran lapan barangan iaitu beras, daging ayam, telur, tepung, ikan atau makanan laut, gula kasar, minyak masak, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Beliau berkata pelaksanaan program sebegitu akan mengurangkan beban kewangan penduduk di sini terutamanya keluarga B40 dan berpendapatan rendah.
“Saya amat berbesar hati kerana kawasan saya dipilih untuk melaksanakan program kerajaan ini yang memberi manfaat kepada penduduk setempat sebagai pengguna dan peniaga runcit ketika kita berdepan dengan inflasi terutamanya makanan penting.
“Saya berharap penduduk Papar tidak akan melepaskan peluang ini untuk membeli barangan tersebut pada harga lebih murah di Kedai Runcit Domio di Kg Nagapas yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada hujung minggu ini,” katanya.
Juil yang juga Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat berkata demikian kepada Harian Ekspres selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua masyarakat mengenai program itu di pejabat Adun N.27 Limbahau di sini, Khamis.
Menjawab soalan, beliau berkata penduduk tempatan boleh menikmati harga lebih murah di kedai runcit setiap hujung minggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Beliau berkata program itu juga membantu pendapatan peniaga runcit dan pemborong yang terjejas akibat kelembapan ekonomi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
