Jualan Perodua dijangka perlahan pada 2024, RHB Investment turunkan taraf saranan MBM Resources kepada ‘neutral’

Business & Finance
2 Jun 2023 • 11:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Perodua dijangka perlahan pada 2024, RHB Investment turunkan taraf saranan MBM Resources kepada ‘neutral’

diyana

02/06/2023 - 11:58

KUALA LUMPUR 2 Jun - RHB Investment menurunkan taraf saranan MBM Resources Bhd kepada ‘neutral’ disebabkan ia berpendapat bahawa pendapatan kumpulan akan perlahan berikutan jualan Perodua dijangka lembap pada 2024.

Menurut firma penyelidikan itu, jualan kereta kembali normal pada 2024 dengan jumlah jualan Perodua dijangka berkurang 22% tahun ke tahun (YoY) kepada 250,000 unit.

“Kami melihat tanda-tanda awal kemerosotan tempahan kerana tempahan tertunggak Perodua telah berkurang kepada 190,000 unit berbanding 220,000 unit pada akhir Februari 2023.

“Tanpa sebarang pemangkin baharu untuk meningkatkan tempahan, angka ini boleh beransur-ansur berkurangan sepanjang 2023, yang bermaksud penghantaran yang lebih lemah pada 2024,” jelasnya dalam nota hari ini.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu masih menganjurkan pelabur untuk memegang saham tersebut untuk hasil dividen yang menarik pada 10% iaitu angka tertinggi dalam sektor.

Firma itu berkata demikian susulan taklimat pasca keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada kumpulan itu, di mana prospek tahun 2024 MBM Resources dan RHB Investment bercanggah.

Firma itu berpendapat bahawa jualan kereta lebih lemah pada tahun 2024, sementara pengurusan MBM Resources percaya bahawa jualan 2024 boleh kekal menghampiri jumlah pada tahun 2023.

“Terdapat persetujuan umum dalam pasaran bahawa 2023 berkemungkinan tahun kukuh untuk Perodua. Kami berpendapat bahawa pelabur sedang memerhatikan potensi pengurangan tempahan memandangkan ia boleh menjadi petunjuk awal penurunan pendapatan,” tambahnya.

RHB Investment mengekalkan anggaran tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) memandangkan penurunan jualan kereta secara beransur-ansur telah diambil kira.

Jelasnya, saham MBM Resources kekurangan pemangkin dan saranan ‘neutral’ itu didatangkan dengan harga sasaran (TP) yang dikurangkan kepada RM3.30 sesaham daripada RM5 sebelumnya.

Saham MBM Resources dibuka pada RM3.51 daripada penutupan RM3.51 semalam dan setakat pukul 11:50 pagi hari ini, ia telah menokok 2 sen atau 0.6% kepada RM3.52 dengan modal pasaran bernilai RM1.38 bilion. -DagangNews.com