Jualan Proton meningkat 26.6% lebih 90,000 unit dalam tempoh 7 bulan
zulfadli
03/08/2023 - 09:50
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Berikutan kejayaan enam bulan pertama tahun 2023, pengeluar kereta nasional, Proton meneruskan trajektori jualan meningkatnya pada Julai dengan 13,326 unit (domestik + eksport) dijual.
Proton berkata, angka ini merupakan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding Julai 2022 dan membantu meningkatkan jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 90,647 unit.
"Ini juga merupakan tempoh masa yang paling singkat syarikat telah melepasi 90,000 unit sejak 2012 dan penambahan 26.6% berbanding tahun sebelumnya.
"Pegangan pasaran bagi Julai diramalkan pada 20.5%, dengan pegangan pasaran YTD kini pada 21%," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut kenyataan itu, pencapaian Proton berlatarbelakangkan peningkatan jualan automotif setelah jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit pada Julai.
Katanya, ia bersamaan dengan peningkatan 29.9% berbanding bulan yang sama pada 2022 dan melonjakkan angka YTD sebanyak 12.9% berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Oleh itu, prestasi jualan Proton sehingga bulan Julai tahun ini, kini mengatasi industri sebanyak 14%," katanya.

Sementara itu, walaupun kurang daripada tiga bulan penuh sejak pelancarannya pada 7 Mei 2023, tambahan ketiga kepada rangkaian SUV, Proton X90 telah menerajui jualan keseluruhan dalam segmen pasarannya.
Bagi Julai, 886 unit jualan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 2,225 unit dalam masa 86 hari sahaja dan meletakkannya di tangga teratas di antara pesaingnya.

Proton Persona mengalami peningkatan 107.1% dalam jumlah jualan bagi 2023, yang melonjakkannya ke tangga teratas dalam jadual untuk jualan sedan segmen-B di Malaysia.
Tidak ketinggalan pula jualan Proton X50 yang bertambah sebanyak 2,630 unit untuk menjadikan jumlah jualannya bagi tahun ini meningkat ke 20,192 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan automotif di Malaysia terus kukuh bagi 2023 tanpa penurunan dalam permintaan dalam empat bulan selepas tamat tempoh penghantaran kereta di bawah skim insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Katanya, terdapat banyak pengenalan model baharu pada tahun ini dan ini bersama-sama dengan pengumuman berprofil tinggi yang dibuat di ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta sokongan kerajaan untuk menarik OEM baharu ke negara ini telah mengekalkan minat yang tinggi dalam kalangan pembeli.
"Proton sudah tentu memainkan peranan dalam peningkatan TIV. Dari segi peratusan, pertumbuhan jualan kami adalah lebih daripada dua kali ganda daripada industri setakat ini dan ini boleh dikaitkan dengan pembeli kereta yang tertarik dengan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang ditawarkan oleh barisan model kami.
"Dengan Proton X90 yang sudah pun mendahului kelasnya selepas hanya 3 bulan, model baharu yang akan dilancarkan dan kemasukan syarikat ke pasaran EV pada tahun 2023 melalui smart Malaysia, kami yakin dapat mencapai sasaran akhir tahun kami," katanya. - DagangNews.com

