Jualan Rahmah bantu golongan B40 beli barangan Aidiladha

27 Jun 2023 • 4:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjadikan Program Jualan Rahmah sebagai inisiatif membantu rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persiapan Aidiladha.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata penduduk mengambil peluang mendapatkan bekalan berupa keperluan asas dan barangan dapur menerusi jualan itu.

“Setakat ini sudah laksanakan program ini di 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari ini adalah hari terakhir untuk kita laksanakan, selain Paloh terdapat dua lagi DUN yang masih menjalankan program.

“Sambutan penduduk amat baik kerana subsidi daripada kerajaan dapat dinikmati oleh semua rakyat,” katanya kepada pemberita di Dataran Paloh 2, Gua Musang, hari ini.

Azman berkata pihaknya turun padang membuat pemantauan ke atas program itu dan bergerak di setiap daerah bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil dapat menikmati jualan yang sama seperti di bandar.

Katanya jualan tersebut bermula 16 Jun lepas bagi Kelantan dan berakhir hari ini, namun akan diadakan semula selepas raya hinggalah Disember 2023 dengan sedikit perubahan konsep.

“Ini adalah sedikit sumbangan sekurang-kurangnya kita dapat membantu sedikit untuk persediaan hari raya walaupun dengan hanya pengurangan RM1 ke RM2 ia tetap memberi impak kepada penduduk,” katanya.-Bernama