Awal tahun ini Elon Musk mengatakan robot Optimus yang sedang dibangunkan oleh Tesla akan mula dijual kepada pelanggan seawal 2025. Robot ini sudah dibangunkan sejak 2021 dengan harapan ia akan digunakan di kilang Tesla bagi menggantikan pekerja manusia. Tetapi dalam ciapan yang dihantar semalam, Musk mengatakan jualan Optimus akan ditangguh ke 2026 pula. Ciapan ini walaubagaimanapun telahpun dipadam.

Tiada sebab diberikan mengapa jualan robot perlu ditangguh selama setahun. Besar kemungkinan apa yang dijanjikan oleh Musk tidak setanding dengan apa yang mampu dilakukan oleh Optimus di dunia sebenar. Sejak dari awal pelan tiga tahun yang diberikan oleh Musk untuk mengkomersialkan Optimus dilihat tidak realistik.

Semasa acara pelancaran seorang manusia memakai sut seakan Optimus digunakan sebagai gimik. Dalam acara pelancaran seterusnya, Optimus hanya mampu berjalan terkedek-kedak dan bersambung kepada kabel. Demo yang diperlihatkan kemudian didapati dipalsukan kerana robot dikawal manusia dan bukannya beroperasi secara kendiri.
Boston Dynamics membangunkan robot Atlas selama 10 tahun sebelum ia ditawarkan kepada pelanggan untuk digunakan di gudang dan tapak pembinaan. Tesla yang menjanjikan robot dengan kemampuan sama dalam masa tiga tahun adalah sangat tidak berpijak di bumi yang nyata. Dengan ini, Optimus menjadi sebuah lagi projek di bawah pimpinan Elon Musk seperti Cybertruck, SpaceX Starship, Tesla Roadster baharu dan Tesla Semi yang tertangguh bertahun-tahun daripada janji asal.
