
Jualan Samsung Galaxy Z Trifold dilaporkan telah dihentikan di Korea Selatan bermula hari ini menurut laporan Bloomberg. Ia tiba selepas tiga bulan ia dilancarkan di negara tersebut. Sejak dilancarkan, dianggarkan sebanyak 3 ribu unit Z Trifold telah dijual di Korea Selatan. Peranti hanya boleh dibeli setiap 1-2 minggu menerusi lama web rasmi dengan keseluruhan stok yang ditawarkan kemudiannya habis dijual.

Walaupun jualan Z Trifold dihentikan di Korea Selatan, peranti akan terus dijual di Amerika Syarikat sehinggalah kehabisan stok. Ini adalah kerana peranti dijual lebih lewat berbanding di Korea Selatan. Z Trifold ialah peranti skrin tri-lipat pertama keluaran Samsung dengan sejak dari awal ia dipasarkan dalam jumlah yang terhad bagi melihat permintaan pasaran.
Tiada sebab mengapa jualan dihentikan selepas hanya tiga bulan. Tetapi mungkin kerana ia tidak lagi menguntungkan untuk dijual pada harga 3,590,400 won (RM 9400) sebuah sedangkan harga RAM serta memori kini meningkat. Berita ini pastinya mengecewakan mereka yang menanti pelancaran rasminya di Malaysia.


