Jualan segmen pertengahan diramal terjejas, M40 mungkin tahan diri beli kereta baharu - Kenanga Research
herman
23/05/2024 - 11:01
KUALA LUMPUR 23 Mei - Kumpulan berpendapatan sederhana atau M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu selepas pengenalan bahan api rasionalisasi subsidi., kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, malah terdapat juga kemungkinan golongan tersebut menukar kepada kereta yang lebih kecil untuk mengurangkan kos bahan api mereka.
"Kami percaya ia akan menjadi perniagaan seperti biasa untuk segmen mampu milik kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan B40 akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku dan juga berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.
"Walau bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk segmen pasaran pertengahan dengan pelanggan sasarannya iaitu kumpulan M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu (atau malah menurunkan perdagangan kepada kereta yang lebih kecil untuk mengurangkan bil bahan api mereka) selepas pengenalan rasionalisasi subsidi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Research percaya kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan.
Katanya, ini disokong oleh beberapa faktor iaitu keyakinan pengguna yang kukuh disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat, serta disokong oleh harga kereta baharu yang stabil susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu yang boleh mengakibatkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak 8%−20%.
Selain itu, katanya, kos sewa beli juga berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah baki pengurangan dalam pengiraan caj faedah di samping model baharu yang menarik.
"Untuk CY24, kami mengunjurkan TIV sebanyak 710k unit (-11%) yang sedikit lebih konservatif daripada 740,00 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
"Kami percaya walaupun ia akan menjadi perniagaan seperti biasa untuk segmen mampu milik, rasionalisasi subsidi bahan api lebih berkemungkinan menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan," jelasnya.
Tambah Kenanga Research, jualan kenderaan baru di Malaysia, juga dikenali sebagai jumlah industri keseluruhan (TIV) mencatatkan sebanyak 57,991 unit pada April 2024,turun sebanyak 18% berbanding bulan ke bulan (MoM) disebabkan bulan kerja yang lebih singkat berikutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, walau bagaimanapun angka itu tetap satu peningkatan sebanyak 21% jika perbandingan tahun ke tahun (YoY), mencerminkan ketahanan industri automotif tempatan.
"Dengan TIV 4MCY24 membentuk 37% daripada jangkaan tahun penuh kami sebanyak 710k unit (-11% YoY), kami menganggap nombor tersebut memenuhi jangkaan kami," ujarnya yang mengekalkan saranan Neutral sektor tersebut dengan MBMR menjadi pilihan utama.- DagangNews.com


