
KUALA LUMPUR - Lebih 80 peratus daripada 119,880 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang ditawarkan bagi tempoh perjalanan Aidilfitri dari 1 hingga 15 April, telah terjual setakat pagi tadi.
Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob, berkata bagi tiket ETS tambahan pula, sebanyak 37 peratus daripada keseluruhan 15,120 tiket yang ditawarkan telah dijual.
"KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai membuat pembelian tiket bagi tempoh enam bulan ke hadapan.
"Kami harapkan penjualan tiket untuk bulan Ramadan tahun ini berjaya seperti tahun-tahun yang lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Selain itu, katanya, pihak KTMB turut menjual cenderamata hasil kolaborasi bersama peniaga-peniaga kecil tempatan yang boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web KTMB dan juga Shopee.
Dalam pada itu, menjangkakan kesibukan di stesen-stesen KTMB di seluruh negara menjelang Aidilfitri, beliau menyarankan pengguna perkhidmatan tren berkenaan untuk sampai ke stesen lebih awal daripada biasa bagi mengelakkan kesesakan.
Terdahulu, beliau bersama beberapa pengurusan KTMB berkunjung ke Wisma Bernama di sini untuk menyumbang beberapa jenis manisan sebagai juadah berbuka puasa kepada kakitangan Bernama yang diharap dapat merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak. - BERNAMA
