Jubli Perak Pemerintahan: Sultan Selangor berangkat ke Jamuan Teh Diraja

20 Oct 2026 • 6:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jubli Perak Pemerintahan: Sultan Selangor berangkat ke Jamuan Teh Diraja

KLANG, 20 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda sekitar jam 3.15 petang turut disambut DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Image from: Jubli Perak Pemerintahan: Sultan Selangor berangkat ke Jamuan Teh Diraja
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan hadir Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Majlis dimulakan dengan sembah ucapan oleh Engku Setia Lela Bestari, Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj sebelum diteruskan dengan titah ucapan Sultan Sharafuddin.

Pada majlis sama, Sultan Selangor berkenan memotong pulut kuning selain menerima persembahan cenderamata daripada anak-anak Raja Bergelar, Orang-Orang Besar Bergelar dan Orang-Orang Besar Istana.

Baginda turut berkenan melancarkan Buku Salasilah Keturunan Sultan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor, selain majlis diserikan dengan persembahan oleh Kombo Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerabat Diraja Selangor.

Image from: Jubli Perak Pemerintahan: Sultan Selangor berangkat ke Jamuan Teh Diraja
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memotong pulut kuning dalam Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Lebih 1,500 kerabat Diraja Selangor hadir pada majlis berkenaan yang turut menjadi ruang mengeratkan silaturahim serta menzahirkan taat setia kepada Sultan Selangor.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Selangor sebelum Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Amir Shah serta Datin Paduka Seri Afzaa Fadini berangkat pulang dan bersalaman dengan kerabat Diraja Selangor yang hadir.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua akan berlangsung esok pada jam 3 petang di lokasi sama manakala pada 22 Oktober, Sultan Selangor dijadual berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Anak Yatim dan Spastik.

Image from: Jubli Perak Pemerintahan: Sultan Selangor berangkat ke Jamuan Teh Diraja
Antara yang hadir Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved