Julita: Dasar wanita Sabah dalam perancangan

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

MENTERI Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Mojungki berkata kementerian itu bercadang untuk mewujudkan dasar wanita Sabah yang boleh diterjemahkan dalam bentuk polisi dan program bagi membantu atau menangani cabaran yang khususnya wujud di negeri ini.

Dalam temu bual bersama Harian Ekspres sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, beliau berkata kementerian itu juga akan meneruskan dan memperbaiki program sedia ada yang sememangnya mencapai sasaran ditetapkan sebagai antara inisiatif bagi memperkukuh kedudukan wanita di negeri ini.

Beliau berkata peluang yang terbatas untuk wanita negeri ini menyerlahkan kebolehan mereka terus menjadi antara tumpuan dalam usaha pemerkasaan golongan itu.

“Ramai wanita kita yang berkebolehan tetapi peluang untuk mereka menyerlahkan kebolehan agak terbatas.

“Walaupun Sabah tidak mempunyai bilangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang besar dan signifikan namun memberi peluang kepada wanita yang berkelayakan di peringkat pengurusan negeri ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dapat dilaksanakan secara lebih komited.

“Ini termasuklah dalam pentadbiran kerajaan sebagai pemegang jawatan di peringkat daerah seperti Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, serta dalam jabatan dan kementerian,” katanya.

Justeru itu, katanya, terdapat keperluan untuk memperbanyakkan lagi peluang menjana pendapatan dalam kalangan wanita dan belia melalui bantuan serta bimbingan berterusan di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

Berikut adalah temu bual selanjutnya:HE: Tahun ini tema Hari Wanita Antarabangsa ialah ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’. Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat Sabah?J: Tema ini membawa mesej yang sangat penting khususnya dalam konteks pembangunan wanita di Sabah. Wanita di negeri ini ibarat untapped potential ataupun potensi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Golongan ini boleh menyumbang secara berkesan dan signifikan jika diberi peluang dan kepercayaan. Ini semestinya bermaksud peluang pendedahan dan latihan berterusan kepada mereka untuk terlibat dalam sektor-sektor berkepentingan.

HE: Tahun ini juga cukup bermakna apabila di bawah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), nama ‘wanita’ secara rasmi diangkat sebagai sebahagian daripada nama kementerian. Bagaimana Datuk melihat signifikan pengiktirafan ini?J: Usaha untuk mengangkat perkataan ‘wanita’ dalam nama kementerian ini sememangnya satu langkah yang baik. Dari segi fungsi dan inisiatif untuk membantu memartabatkan serta melindungi hak-hak wanita, kementerian ini telah lama melaksanakan pelbagai program bersasar untuk golongan ini.

Sungguhpun demikian, masih banyak yang perlu ditambah baik dan diperbaiki agar impak program lebih meluas.

HE: Bagaimana tema tahun ini selari dengan peranan kementerian dalam memastikan wanita di Sabah khususnya bukan sahaja diraikan tetapi benar-benar diperkasa dari segi ekonomi, sosial dan kepimpinan?J: Tema ini amat bertepatan khususnya dalam usaha memperbanyakkan peluang dalam bidang ekonomi, kemahiran (profesional) dan kepimpinan wanita di semua peringkat.

HE: Di bawah Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, apakah inisiatif utama yang sedang atau akan dilaksanakan khusus untuk memperkukuh kedudukan wanita di negeri ini?J: Meneruskan dan memperbaiki program sedia ada yang sememangnya mencapai sasaran yang ditetapkan.

HE: Bagaimana kementerian memastikan wanita luar bandar dan di pedalaman turut menikmati manfaat program pemerkasaan ini?J: Meneruskan program libat urus yang telah atau sedang berjalan, dengan memberi penekanan kepada pendekatan turun padang, kerjasama dengan agensi berkaitan serta jaringan komuniti bagi memastikan wanita di luar bandar dan kawasan pedalaman turut menikmati manfaat program pemerkasaan ini.

HE: Apakah fokus utama kementerian dalam menyokong kemajuan wanita di Sabah?J: Kementerian akan memberi keutamaan dan penekanan kepada proses pembelajaran sepanjang hayat di semua peringkat bagi memastikan wanita di Sabah terus meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta keupayaan diri.

HE: Adakah kementerian mempunyai sasaran atau pelan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan, sama ada di peringkat komuniti mahupun pembuat dasar?J: Ini adalah sasaran besar kita bermula dengan inisiatif sedia ada selaras dengan dasar wanita negara.

Bagaimanapun, kementerian juga bercadang untuk mewujudkan dasar wanita Sabah yang boleh diterjemahkan dalam bentuk polisi dan program untuk membantu atau menangani cabaran yang khususnya wujud di Sabah.

HE: Sebagai seorang wanita yang kini menerajui kementerian ini, apakah harapan peribadi Datuk terhadap masa depan wanita di Sabah?J: Saya mahu agar lebih ramai wanita Sabah dikenali dalam kepimpinan politik pada masa akan datang berjaya sebagai ahli perniagaan, profesional dan penjawat awam yang berkaliber.

View Original Article