Jumlah graduan perubatan sertai KKM rendah, hanya isi 10 peratus kekosongan

LocalHealth & Fitness
14 Feb 2026 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
KKM menggariskan empat reformasi utama bagi menangani cabaran struktur dan ketidakseimbangan agihan tenaga kerja kesihatan negara.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Penurunan pengisian slot Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) Kementerian Kesihatan (KKM) memberi impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi.

KKM memaklumkan, meskipun semua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.

"Sehingga Februari 2026, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) seluruh negara kini berada pada tahap 53 peratus, iaitu 6,500 slot terisi daripada 12,198 kapasiti.

"KKM memantau rapi trend penurunan jumlah graduan perubatan yang memasuki pasaran kerja, di mana penyusutan ini telah mencetuskan 'reaksi berantai' kepada kadar pengisian perjawatan di fasiliti kesihatan awam," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu KKM menjelaskan, cabaran tersebut merupakan manifestasi isu struktur diwarisi serta ketidakseimbangan agihan tenaga kerja di peringkat nasional yang tberlarutan sekian lama.

"Selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 Julai 2025, penempatan PPS adalah bertujuan untuk melengkapkan kompetensi klinikal melalui latihan berstruktur.

"PPS tidak berfungsi sebagai tenaga kerja tambahan untuk mengisi kekosongan perjawatan atau menampung beban perkhidmatan," ujarnya.

Bagi menangani isu berkenaan, KKM berkata, pihaknya sedang melaksanakan beberapa reformasi termasuk menamatkan sistem doktor kontrak secara berfasa, memperkenalkan mandat mobilisasi dan agihan semula pegawai, memperkukuh program latihan siswazah serta menambah baik kebajikan petugas kesihatan.

Selain itu, kementerian turut meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi menambah unjuran dan penghasilan graduan perubatan, di samping meneroka langkah tambahan melalui libat urus bersama agensi pusat.

"Ini adalah demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal selamat, berkesan dan mampan khususnya di fasiliti yang menanggung beban perkhidmatan yang tinggi," ujarnya.