Jumlah Kes Bankrap Di Malaysia Catat Penurunan Sejak 2016 – BNM

20 Oct 2022 • 8:54 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Isu muflis sering dikaitkan dengan keadaan kewangan yang semakin parah. Sebelum ini, pihak Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia mengaitkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan trend muflis.

Pada hakikatnya, jika dilihat dari segi trend dan maklumat terkini daripada bank-bank dan institusi bukan bank terpilih (penyedia perkhidmatan sewa beli), jumlah kes muflis bagi individu semakin menurun sejak tahun 2016.

Ini juga termasuklah tempoh masa OPR meningkat pada tahun 2018. Jumlah golongan belia iaitu, individu berumur kurang daripada 35 tahun yang muflis juga menunjukkan trend penurunan yang sama, iaitu 14 peratus daripada jumlah kes muflis yang berlaku antara Januari hingga Mei 2022 (purata 2017-2019: 24.9%).

Jadual di bawah menunjukkan trend penurunan daripada tujuh buah institusi kewangan domestik yang mencakupi 68% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan:

image is not available
Kredit; Bank Negara Malaysia

Kenapa ia tidak mudah untuk mengisytiharkan seseorang individu itu muflis?

Berdasarkan coretan Gabenor Bank Negara Malaysia pada 15 Julai 2022, tindakan untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis bukanlah perkara mudah. Banyak prosedur yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan atau pemiutang lain. Tindakan kebankrapan merupakan jalan terakhir bagi institusi kewangan, setelah segala ikhtiar dan usaha pemulihan lain dilakukan untuk mendapatkan balik pinjaman yang telah diberi kepada peminjam.

image is not available
Kredit: Bank Negara Malaysia

Pertama sekali, institusi kewangan dikehendaki untuk memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan dalam membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum sebarang tindakan kebankrapan diambil mengikut Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Inisiatif untuk membantu peminjam yang mengalami kesulitan sewaktu membuat bayaran balik pinjaman

Bagi para peminjam yang menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman, mereka digalakkan supaya mengambil tindakan pro-aktif untuk menghubungi institusi kewangan masing-masing sebelum pinjaman tersebut bagi mengelakkan petisyen kebankrapan difailkan oleh institusi kewangan.

Ini membolehkan institusi kewangan untuk memberikan pakej bayaran balik pinjaman yang lebih sesuai kepada peminjam bagi membantu mereka ketika menghadapi kesukuran.

Selain itu, peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dipertimbangkan di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK). Program ini dapat membantu mereka untuk melakukan pestrukturan semula pinjaman sedia ada dan seterusnya, membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman.

image is not available
Kredit:: AKPK

Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada tindakan undang-undang seperti kebankrapan atau lelongan harta, jika peminjam tersebut gagal meneruskan bayaran balik pinjaman. Sejak 2006, AKPK telah memberikan khidmat nasihat kewangan kepada 1.2 juta peminjam. Daripada jumlah tersebut, 360,095 peminjam telah diberi bimbingan di bawah PPK.

Untuk pertanyaan lanjut atau bagi mendapatkan perkhidmatan AKPK, orang ramai boleh melayari laman sesawang AKPK (www.akpk.org.my) atau membuat temu janji melalui Borang Permohonan Perkhidmatan AKPK (services.akpk.org.my).

Seterusnya, BNM juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan agensi lain melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) untuk mempergiatkan usaha meningkatkan kadar celik kewangan dalam kalangan individu supaya mereka mampu membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi.

Ini juga bersifat serampang dua mata apabila inisiatif ini juga mampu memupuk sikap peminjam yang bertanggungjawab. Perkara ini amat penting bagi memperkukuh lagi sistem kewangan yang utuh dan mengekalkan aliran kredit kepada ekonomi.

Perlu dijelaskan bahawa selain institusi kewangan, tindakan kebankrapan turut diambil oleh pemiutang lain yang berada di luar bidang kuasa BNM, seperti syarikat pemberi kredit, pembekal dan sebagainya.

Sehubungan ini, kementerian dan agensi yang terbabit dalam hal ini sedang giat berusaha untuk memastikan peminjam/penghutang mendapat layanan yang adil dan bertanggungjawab melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (AKP) dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan serta penetapan standard dan garis panduan yang seragam berkaitan dengan Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab.

Apa yang perlu dilakukan jika anda diisytiharkan muflis?

Akan tetapi, jika seseorang individu masih tidak terlepas daripada menerima Perintah Kebankrapan daripada Mahkamah Tinggi, individu yang diisytihar bankrap dikehendaki mematuhi dan memberi kerjasama sebaik mungkin terhadap Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) sepanjang tempoh kebankrapannya dan menyediakan maklumat atau senarai aset dan liabiliti seperti tertera di bawah.

image is not available
Gambar hiasan | Kredit: Getty Images

Antaranya, individu tersebut perlu menghadirkan diri ke Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia dengan segera apabila menerima Perintah Kebankrapan dan menyerahkan semua aset kepada KPI.

Selepas itu, individu yang diisyhtiharkan muflis perlu mengemukakan Penyataan Hal Ehwal (PHE) yang lengkap dan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan setiap enam (6) bulan serta menghadiri setiap mesyuarat pemiutang yang ditetapkan.

Selain itu, individu tersebut perlu membuat sumbangan atau bayaran terhadap estet kebankrapan sekurang-kurangnya 10 peratus pendapatannya dan tidak dibenarkan menerima sebarang pemberian wang atau kredit sebanyak RM1,000.00 atau lebih daripada mana-mana pihak tanpa memaklumkan pemiutang statusnya sebagai seorang bankrap.

Bukan itu sahaja, seseorang yang diisytiharkan bankrap tidak boleh membuat pembayaran secara langsung kepada pemiutang. Akhir sekali, individu yang mendapat status bankrap perlu memaklumkan kepada KPI atas perubahan nama, alamat, nombor telefon, pendapatan, harta dan maklumat lain yang berkaitan serta maklum balas atas pertanyaan KPI dalam masa yang ditetapkan.

Sumber: BNM & MyGovernment