
SHAH ALAM, 21 APRIL: Seramai 1.84 juta pengunjung direkod melawat Selangor sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, kata EXCO pelancongan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata jumlah itu meningkat 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus yakin Tahun Melawat Selangor (TMS 2025) mampu mencapai sasaran lapan juta pelancong.
“Sempena TMS 2025, kita sasarkan 70 peratus pengunjung merupakan rakyat tempatan manakala 30 peratus dari kalangan pelancong luar negara.
“Kehadiran mereka ini dijangka mampu memperoleh kutipan resit melebihi RM11 bilion. Dalam masa sama turut memberi kesan ekonomi kepada peniaga kecil,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim berkata kehadiran pelancong dijangka meningkat lebih ramai bermula suku ketiga hingga ke empat, dengan sasaran melebihi empat juta orang.
“Antara lokasi baharu yang menjadi tumpuan ialah Splash Mania (Kuala Langat) dan Skyline Luge di Rawang. Anjung Utara Selangor melibatkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam turut menerima pelancong yang ramai.
“Pusat beli-belah antaranya 1 Utama dan The Curve di Petaling Jaya serta IOI City Mall dan Sunway Pyramid turut merekodkan peningkatan pelancong,” katanya.

Tahun lalu, pelbagai kerja promosi dilakukan menerusi pengiklanan, digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran.
Pada Julai, sebanyak 55 Bas Smart Selangor di serata daerah dilengkapi iklan panel bagi mempromosi lokasi pelancongan menarik melibatkan peruntukan RM250,000.
Kerajaan Negeri turut menggunakan pesawat penerbangan AirAsia mempromosi TMS ke luar negara antaranya Indonesia, Singapura, China dan Jepun.
The post Jumlah pelancong ke Selangor bertambah, cecah 1.8 juta takat Mac appeared first on Selangorkini.


