Jumlah penalti terhadap kartel cecah RM570 juta

26 Jul 2024 • 6:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan (kiri) pada program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Studio Sinar Harian pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lebih kurang 100 perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bida dikenakan penalti membabitkan jumlah keseluruhan mencecah RM570 juta sejak penubuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hingga tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sehingga kini terdapat 18 kes siasatan yang masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk 14 kes melibatkan tipuan bida.

“Bagi kita itu (kes tipuan bida) cukup penting untuk kita siasat sebab ia merupakan satu bentuk sabotaj kepada agenda kerajaan.

“Ia kerana kita tahu di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dari segi pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ditingkatkan perolehan kerajaan yang berbentuk tender terbuka.

“Tetapi bila tender terbuka itu adanya tipuan bidaan, pakatan syarikat-syarikat tertentu untuk memasuki sesuatu tender, jadi itu menjatuhkan objektif asal tender terbuka tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Fikri Ibrahim itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Dalam pada itu, ujar Armizan, kementerian juga sedang membuat kajian untuk meminda akta persaingan dengan menambah satu elemen baharu yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Meminda akta persaingan untuk (menambah) satu lagi elemen penting iaitu rejim penggabungan kerana ada juga perusahaan yang melaksanakan pengambilalihan atau penggabungan dengan tujuan monopoli tidak sihat, juga boleh beri kesan kepada harga pengguna.

“Ini merupakan satu elemen yang mungkin belum ramai diketahui tetapi undang-undang terkait dengan persaingan ini juga merupakan salah satu mekanisme yang diguna kerajaan, yang juga terkait perlindungan kepada pasaran dan pengguna,” ujarnya.