KOTA KINABALU - Jurang harga barang yang jauh lebih mahal di Sabah dan Sarawak sejak puluhan tahun lalu antara sebab utama kerajaan mengekalkan subsidi diesel di kedua-dua negeri tersebut, walaupun terdapat rungutan sebahagian rakyat di Semenanjung yang menganggap pemberian itu tidak adil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti pelbagai faktor termasuk keadaan geografi serta corak penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, perkara itu pernah dijelaskan sebelum ini termasuk di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak.
"Antaranya adalah penggunaan yang tinggi dalam kalangan pengguna domestik termasuklah penggunaan isi rumah yang bergantung kepada bahan api diesel untuk urusan harian kerana keadaan geografi di Sabah dan Sarawak.
"Kedua, yang lebih penting ialah jurang harga banyak barang antara Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia. Jadi kita belum dapat menangani persoalan tersebut sehingga kita ada dasar kuasa penstabilan harga barang untuk Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Labuan.
"Masyarakat kita di Sabah terbeban dengan jurang harga yang disebabkan oleh pelbagai faktor pengangkutan, sumber bekalan dan jaraknya yang jauh. Perkara ini bukan baharu sekarang, tetapi sudah berlaku berpuluhan tahun," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan di Dewan Serbaguna Sembulan, di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Papar itu diminta mengulas mengenai rungutan sebahagian rakyat di Semenanjung yang mempersoalkan pemberian subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak yang dilihat tidak adil.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebab itu kerajaan melihat bahawa diesel yang diperlukan di Sabah perlu dikekalkan subsidinya.
"Ia disebabkan pendapatan rakyat digunakan untuk pembelian barang keperluan termasuk makanan dan sebagainya yang jauh berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia," ujarnya.




