
Francais filem Jurassic iaitu Jurassic World Rebirth kini kembali dengan aksi mendebarkan. Kisah saga dinosaur yang sentiasa ganas dan garang masih lagi berdiri teguh disamping menggabungkan unsur nostalgia, jalan penceritaan penuh suspens dan watak saintis yang sentiasa teruja dengan sifat haiwan tersebut.
Filem ini dimulakan dengan babak flashback didalam makmal sains disebuah pulau terpencil. Seperti biasa ketika sedang melakukan eksperimen, tanpa diduga berlaku malapetaka. Kesemua saintis lari menyelamatkan diri meninggalkan tempat tersebut. Babak seterusnya pula bersambung di zaman ketika ini di sebuah bandar di Amerika.
Martin Krebs, seorang eksekutif di syarikat farmaseutikal ParkerGenix, sedang merekrut Zora Bennett, seorang bekas tentera upahan untuk bekerjasama dengan ahli paleontologi Dr. Henry Loomis dalam satu misi rahsia untuk mendapatkan sampel biomaterial daripada tiga spesimen prasejarah terbesar. Menurut Krebs, kajian yang sedang diusahakan ini berupaya untuk merawat masalah penyakit jantung. Oleh yang demikian adalah penting untuk dia mendapatkan sampel darah dari dinosaur bagi meneruskan ujian makmal.


Justeru itu misi ini memerlukan mereka untuk mendapatkan tiga sampel utama dari kelompok dinasour laut, darat dan udara. Tanpa membuang masa mereka mula mengumpulkan krew dan terus berlayar. Kumpulan ini berjaya mendapatkan sampelnya yang pertama dari spesis akuatik Mosasaurus. Walaupun berjaya tetapi mereka telah kehilangan beberapa orang krew dan akhirnya terdampar di sebuah pulau yang penuh dengan spesis dinosaur yang lain.
Di pulau ini mereka mula memburu spesis darat iaitu Titanosaurus. Haiwan ini sangat besar dan setelah menghadapi pelbagai dugaan, akhirnya mereka berjaya mengekstrak darah dari spesis tersebut. Seterusnya mereka mula mendaki gunung untuk mendapatkan pula specimen burung pemangsa iaitu Quetzalcoatlus.
Setelah semuanya selesai, mereka mula berkumpul di sebuah makmal lama yang telah ditinggalkan disebabkan kegagalan masa lalu. Mereka berada disitu kerana menunggu sebuah helikopter untuk membawa mereka pulang. Tetapi lain pula yang berlaku apabila satu dinasour kacukan telah datang menyerang dan merosakkan helikopter yang mereka tunggu. Bagaimanakah kesudahanya?
Pengarah Gareth Edwards berjaya mengolah naskah ini dengan visi yang lebih segar disamping mengembangkan setiap watak dengan cemerlang. Kesan khas visual juga masih lagi menakjubkan terutamanya ketika adegan dinasour mengganas dan disepadukan ke dalam persekitaran dunia sebenar. Tona warna yang digunakan juga menarik dan sesuai dengan suasana tropika. Lebih dari itu, para pelakon juga turut berjaya dalam membawakan watak masing-masing terutamanya ketika aksi cemas berhadapan dengan pelbagai dinosaur.
Kesimpulannya, Jurassic World Rebirth berjaya menepati tajuknya. Naskah ini adalah satu kebangkitan semula bukan hanya dinosaur, tetapi keseluruhan francais filem siri ini. Dengan jalan ceritanya yang kukuh serta watak protagonis dan antagonis yang dibangunkan dengan baik, edisi Rebirth boleh berdiri megah diantara siri-siri yang lain.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

