Juri kawad kaki galas tanggungjawab besar

17 Oct 2023 • 2:39 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Beberapa perkara akan dinilai oleh juri sebelum mengangkat sesebuah pasukan meraih kejuaraan dalam pertandingan kawad kaki.

Dalam setiap pertandingan kawad kaki yang dianjurkan sama ada peringkat sekolah mahupun negeri memerlukan seorang juri untuk menilai setiap pemarkahan bagi menentukan pasukan mana yang selayaknya merangkul anugerah atau gelaran juara.

Peranan juri ini sangat penting dalam menilai prestasi setiap pasukan kawad kaki yang terdiri daripada platun dan ketua platun.

Menurut salah seorang juri kawad kaki yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong, Selangor, Cikgu Mohd Yassin Yaacob, memegang tugas sebagai pemberi penilaian kepada pasukan yang bertanding adalah satu tanggungjawab penting selain turut mengutamakan sifat amanah dan telus.

Ia untuk memastikan setiap penilaian yang dibuat adalah secara adil tanpa berpihak pada mana-mana pasukan dan hanya mereka yang selayaknya sahaja patut diangkat sebagai juara.

“Salah satu tanggungjawab utama juri adalah dengan menilai aspek teknikal seperti langkah kaki, ketepatan formasi dan keseimbangan dalam setiap gerakan yang dibuat.

image is not available
Cikgu Mohd Yassin

“Juri perlu memerhatikan setiap langkah ini dengan teliti bagi memastikan setiap platun mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan dalam pertandingan kawad kaki,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Beliau yang sudah empat tahun terlibat dengan kokurikulum kawad kaki sekolah turut memberitahu, juri juga akan menilai kelengkapan pakaian setiap platun yang terlibat.

Ini termasuklah penggunaan seragam mengikut unit beruniform dengan betul, bersih dan kemas.

“Namun sekiranya terdapat aksesori pakaian yang tercabut atau terjatuh kebiasaannya juri akan memberikan penalti kepada pasukan berkenaan.

image is not available

“Tidak cukup dengan itu, pasukan yang menambah pergerakan baru yang bukan ditetapkan seperti tertera dalam borang permarkahan juga akan dinilai dan diberi markah yang sesuai,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan, Cikgu Mohd Yassin memaklumkan, setiap juri pertandingan kawad kaki perlu mengutamakan aspek keadilan dan kecekalan bagi memastikan kokurikulum itu terus bertahan dan berkembang tanpa mengira lapisan umur.

Jelasnya, semakin ramai pelajar yang terlibat dengan kawad kaki ini maka akan lahirlah lebih ramai pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

image is not available

TIP

Lima kriteria pasukan kawad kaki memenangi pertandingan

1) Pakaian

Pakaian pasukan kawad kaki hendaklah lengkap dan kemas seperti yang telah ditetapkan serta menitikberatkan keseragaman semua platun yang terlibat.

2) Masa berjalan

Sewaktu berkawad, semua platun hendaklah tidak berjalan terlalu laju atau terlalu perlahan. Ia perlu selaras dengan semua ahli platun.

image is not available

3) Bahasa hukuman oleh ketua platun

Bahasa hukuman yang dilontarkan oleh ketua platun perlu lantang dan jelas kedengaran.

image is not available

4) Hentakan padat

Hentakan padat merujuk kepada langkah kaki yang dijalankan secara serentak oleh semua platun dengan paras yang selaras dan seragam.

image is not available

5)Tangan paras

Merujuk kepada posisi tangan setiap platun sewaktu perbarisan kawad kaki dengan mengangkat tangan ke paras tertentu.

image is not available