Jurij masih ingat pengalaman bawa ‘Tok Ayah’ bertaubat

19 Jul 2023 • 4:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H bagi negeri Perak Jurij Sulaiman berkata antara pengalaman yang dapat dilupakan adalah semasa beliau membantu membawa seorang individu yang menggelarkan diri sebagai ‘Tok Ayah’ kembali kepada ajaran Islam, di sebuah kampung di Tapah sekitar tahun 70-an.

Bekas Ketua Pendakwa Syariah Perak berumur 87 tahun itu berkata beliau melihat sendiri individu terbabit mengaku dirinya merupakan rasul akhir zaman dan lebih menakutkan, pada satu ketika kitab al-Quran dipijak oleh individu itu.

“Dia kata al-Quran itu tertulis, yang tersirat itu pada diri, dalam dada dia. Akhirnya saya usahakanlah bagi dia sedar dan bertaubat, saya saksi sendiri (tindak tanduk individu terbabit), bukan dengar cerita orang.

“Kita banyak kali bawa dia ke tempat siasatan, siasat lama-lama sehingga dia tak tidur dan berganti-ganti jalankan soal siasat. Akhirnya dia mengaku bersalah dan bertaubat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H kepada Jurij yang juga Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid Wilayah Bagan Serai pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Sementara itu Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah yang menerima Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) ketika ditemui berkata tidak mungkin beliau mendapat anugerah itu sekiranya tidak mendapat kerjasama dan sokongan daripada ahli kariah masjid berkenaan.

Fadzli Cheah yang juga pakar neurosurgeri berkata anugerah itu merupakan satu penghormatan besar buat dirinya.

“Wang tunai yang diterima, saya akan serahkan kepada persatuan,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Cawangan Ipoh).

Jurij dan Fadzli Cheah masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, bayaran pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 dan piala iringan serta sijil bernilai RM300.

Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latif; Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada aktivis masyarakat Dr Umi Kalthum Ngah dan Anugerah Ikon Asnaf kepada ibu tunggal Hasarinawati Abdul Wahab.

Selain itu, Sultan Nazrin turut menyampaikan Anugerah Al-Baqi' (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 dan Anugerah Al-Quba (Pengurusan Masjid Terbaik) kepada Tanah Perkuburan & Waqaf Am Islam Kariah Rapat Setia, Ipoh.

Kesemua penerima membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta sijil dan plak bernilai RM150. -Bernama