liza30/07/2026 - 18:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – One Glove Group Bhd berdepan ketidakpastian terhadap keupayaan untuk meneruskan operasi selepas juruaudit luarnya, Deloitte Malaysia PLT, membangkitkan isu berkaitan kelangsungan perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar sarung tangan itu berkata Deloitte Malaysia PLT memberikan pendapat audit tanpa pengubahsuaian namun menekankan terdapat ketidakpastian material berkaitan kemampuan kumpulan untuk terus beroperasi.
Deloitte memaklumkan perkara itu selepas One Glove mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM39.1 juta pada FY2026, manakala syarikat induknya merekodkan kerugian bersih lebih besar iaitu RM131 juta.
Selain itu, kedudukan kewangan kumpulan turut tertekan apabila operasi menyebabkan pengaliran keluar tunai sebanyak RM12.3 juta, manakala jumlah liabiliti jangka pendek melebihi aset semasa sebanyak RM23.9 juta pada akhir FY2026.
Tekanan Industri Sarung Tangan Beri Cabaran Besar
Menurut Deloitte, aktiviti pembuatan sarung tangan terus berdepan persekitaran operasi yang mencabar susulan lebihan bekalan global yang berterusan, harga jualan yang rendah serta peningkatan kos pengeluaran.
Firma audit itu berkata, keupayaan One Glove untuk meneruskan operasi sebagai entiti berterusan bergantung kepada kejayaan pelaksanaan pelan penyusunan semula kewangan dan operasi.
Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk pelupusan keseluruhan atau sebahagian tanah yang dimiliki oleh syarikat bersekutu tidak langsung, atau menjual syarikat bersekutu berkenaan bagi menjana dana tambahan.
Kumpulan itu juga bergantung kepada sokongan kewangan berterusan daripada pemegang saham utama, ADA Capital Investments Ltd, bagi membantu menangani tekanan kewangan semasa.
Walaupun terdapat ketidakpastian material berhubung kelangsungan operasi, Deloitte tidak mengubah pendapat auditnya terhadap penyata kewangan One Glove.
Pelupusan Tanah Bernilai RM520 Juta Antara Pelan Pemulihan
Secara berasingan, Deloitte turut mengenal pasti dua perkara audit utama melibatkan penilaian kemerosotan nilai terhadap aset kumpulan dan syarikat.
Di peringkat kumpulan, One Glove mengiktiraf kerugian kemerosotan nilai sebanyak RM5.63 juta terhadap loji dan mesin termasuk kerja dalam kemajuan, susulan kerugian operasi yang dialami anak syarikatnya, Onetexx Sdn Bhd.
Pada peringkat syarikat pula, One Glove merekodkan kerugian kemerosotan nilai sebanyak RM128.67 juta terhadap pelaburannya dalam Onetexx.
Bagi menangani isu kelangsungan operasi itu, One Glove berkata syarikat bersekutunya yang memiliki pegangan 38% dalam One Glove Venture Sdn Bhd sedang meneroka pelupusan keseluruhan atau sebahagian daripada tanah seluas kira-kira 322 ekar yang dianggarkan bernilai RM520 juta.
Hasil daripada pelupusan tersebut akan digunakan untuk menyokong operasi Onetexx serta membantu pembayaran balik pinjaman kumpulan.
One Glove turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memperoleh moratorium pembayaran balik daripada sebuah institusi pinjaman selepas tamat tahun kewangan dan akan meneruskan rundingan dengan pihak bank bagi mendapatkan kelonggaran pembayaran tambahan.
Kumpulan itu menjangkakan langkah pemulihan yang dicadangkan dapat diselesaikan menjelang 31 Mac 2027, tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka. - DagangNews.com






