johardy02/10/2026 - 09:55 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt - Juruaudit luar Meridian Berhad mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026), susulan ketidakpastian ketara mengenai keupayaan kumpulan meneruskan operasi serta kekurangan bukti audit yang mencukupi.
Firma juruaudit tersebut, UHY Malaysia PLT berkata, ia tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dan sesuai untuk menyediakan asas bagi mengeluarkan pendapat audit terhadap penyata kewangan Meridian.
Kumpulan Meridian merekodkan kerugian bersih RM11.18 juta bagi FY2026, manakala liabiliti semasanya melebihi aset semasa sebanyak RM48.11 juta setakat 31 Mei. Ia turut mencatat aliran tunai operasi negatif RM1.93 juta.
UHY turut mengetengahkan kegagalan kumpulan membayar balik pinjaman bank tertentu serta prosiding undang-undang dengan institusi kewangan berkaitan, selain ketidakpastian mengenai keputusan beberapa prosiding undang-undang lain.
Meridian, yang diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) sejak April 2024, mengemukakan permohonan kelima kepada Bursa Malaysia Securities pada 11 September lalu bagi lanjutan sembilan bulan sehingga 25 Jun 2027 untuk menyerahkan pelan regularisasinya. Permohonan itu masih menunggu keputusan Bursa Securities ketika laporan UHY ini diterbitkan pada Khamis.
UHY berkata, keupayaan Meridian untuk meneruskan operasi bergantung kepada kelulusan dan kejayaan pelaksanaan pelan regularisasi, kesinambungan sokongan pembiayaan daripada institusi kewangan dan pemberi pinjaman lain serta keupayaan kumpulan menjana aliran tunai mencukupi untuk memenuhi obligasinya.
Rekod perakaunan tidak dapat disahkan
Juruaudit yang dilantik pada 14 Mei 2026 itu juga tidak dapat memperoleh bukti mencukupi untuk mengesahkan baki pembukaan setakat 1 Jun 2025 kerana rekod perakaunan asas dan dokumen sokongan tidak disediakan. Kekangan itu turut melibatkan maklumat kewangan anak syarikat milik penuh Meridian, ZKP Development Sdn Bhd.
Meridian melantik perunding bebas pada 29 September lalu untuk menyemak dan menangani isu berkaitan baki pembukaan itu, namun perunding berkenaan masih belum memulakan semakan ketika laporan juruaudit dikeluarkan.
UHY juga tidak dapat mengesahkan penilaian hartanah pelaburan bernilai RM32.08 juta dan inventori RM74.59 juta kerana laporan penilaian serta maklumat sokongan berkaitan belum disediakan. Kumpulan itu juga tidak memberikan anggaran pengarah yang disokong dengan secukupnya.
Juruaudit itu seterusnya melaporkan bahawa rekod perakaunan dan rekod lain berkaitan perkara yang menjadi asas kepada penafian pendapat tidak disimpan dengan sewajarnya mengikut Akta Syarikat 2016, selain tidak memperoleh semua maklumat dan penjelasan yang diperlukan.
Meridian pertama kali menjadi penerbit tersenarai terjejas pada September 2023 selepas mencetuskan kriteria Bursa berhubung tahap operasi yang tidak signifikan, sebelum diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada April 2024. Penyata kewangannya bagi tempoh berakhir 31 Mei 2025 turut menerima penafian pendapat daripada juruaudit terdahulu.
Kebimbangan audit terbaharu itu menyusuli tindakan penguatkuasaan Bursa terhadap Meridian. Bursa secara terbuka menegur syarikat itu dan mengenakan denda keseluruhan RM350,000 terhadap lima pengarah pada Jun 2025 berhubung kegagalan membuat pendedahan segera bahawa operasinya berada pada tahap tidak signifikan.
Meridian dan Pengarah Eksekutif Tang Boon Koon sekali lagi ditegur oleh Bursa Malaysia pada Julai 2026 kerana kelewatan menerbitkan dua laporan tahunan, dengan Tang didenda RM8,500. - DagangNews.com

