Jurugambar haram ‘berdamai’ di KLCC ketika serbuan DBKL

22 Nov 2025 • 11:41 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pelbagai helah dan taktik licik dikesan digunakan sekumpulan jurugambar haram di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila operasi penguatkuasaan secara mengejut dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan berkenaan malam tadi.

Ketika operasi bermula, ada antara mereka dilihat melarikan diri, menyamar sebagai pelancong, malah ada yang tergesa-gesa menyorokkan peralatan seperti kamera kecil dan pencetak mudah alih di celah pasu bunga bagi mengelak dikesan penguat kuasa.

Wartawan yang mengikuti operasi bersepadu itu mendapati sebahagian individu terbabit turut ‘berdrama’, langsung tidak mengaku mengenali rakan sendiri dan mendakwa mereka hanyalah pengunjung biasa yang kebetulan berada di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

Lebih mencurigakan apabila ada yang tetap menafikan mengambil gambar pelancong walaupun telefon lengkap dengan aksesori kamera ditemui dalam beg mereka, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Dalam masa sama, beberapa individu dilaporkan ‘ghaib’ beberapa minit sebelum pasukan DBKL menghampiri lokasi, dipercayai sudah menghidu operasi yang digerakkan sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan fotografi haram termasuk kamera mini, pencetak mudah alih dan power bank yang disembunyikan di belakang struktur bunga dan pasu besar berhampiran laluan pejalan kaki.

Beberapa individu turut disoal siasat kerana mempunyai rekod pernah ditahan sebelum ini berkaitan kesalahan tidak memiliki lesen penjaja.

Operasi bersepadu KL Strike Force yang disertai DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan dari pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut DBKL, mereka yang ditahan dituduh menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa, di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.

Selain kompaun, semua peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut.