Jurugambar Malaysia Dinamakan National Geographic Explorer Untuk Projek Hidupan Liar Kenya
KUALA LUMPUR, 30 Julai 30 (Bernama) — Jurugambar Malaysia Tinesh Sritharan dinamakan sebagai National Geographic Explorer bagi sebuah projek pemuliharaan hidupan liar di Hutan Simpan Negara Masai Mara, Kenya, di mana beliau akan mendokumentasikan “Great Migration” – pergerakan tahunan hidupan liar daratan (gnu, zebra dan gazel) terbesar di dunia dari Serengeti di Tanzania ke padang rumput di Masai Mara.
Cadangan beliau kepada National Geographic Society untuk mendokumentasikan fenomena itu diluluskan pada April, dan Tinesh dijadual memulakan kerja lapangan di Masai Mara pada 10 Ogos ini yang turut bertepatan dengan kemuncak musim migrasi.
“Masai Mara ialah nadi kepada migrasi besar-besaran ini. Ia bukan sekadar pemandangan menakjubkan tetapi simbol keseimbangan antara alam semula jadi dan manusia,” kata Tinesh, 32, kepada Bernama.
Beliau berkata tugasannya yang bertajuk “Echoes of the Savannah” akan menjadi projek eksklusif fotografi pegun, tanpa gangguan video, dron atau multimedia.
“Niat saya untuk menceritakan keseluruhan kisah migrasi ini, bukan hanya lintasan sungai yang ikonik, tetapi juga dinamik ekologi, pertembungan pemangsa dan mangsa, perspektif penduduk peribumi dan cabaran pemuliharaan.”
Cadangannya menonjol kerana memberi penekanan kepada dinamik ekosistem termasuk konflik antara manusia dan hidupan liar, kehilangan habitat serta kesan perubahan iklim terhadap tingkah laku haiwan dan corak migrasi.
Bagi menjaga sensitiviti budaya dan ekologi, Tinesh akan bekerjasama dengan pakar pemuliharaan tempatan, ahli ekologi dan komuniti peribumi Maasai.
“Sebelum mengambil sebarang gambar, saya akan merujuk pemandu dan penyelidik yang benar-benar mengenali kawasan ini. Pandangan mereka akan menjadi asas kepada gambar yang saya rakam berteraskan pengalaman sebenar,” katanya, menambah beliau telah menghabiskan beberapa bulan bagi mempersiapkan diri untuk kerja lapangan itu.
Menerusi sokongan Sony Malaysia, Tinesh akan menggunakan lensa telefoto terbaharu 400-800 mm keluaran jenama itu bagi merakam hidupan liar dari jarak yang sesuai tanpa mengganggu tingkah laku semula jadi haiwan berkenaan.
“Sokongan daripada Sony Malaysia ini bukan sekadar dari aspek teknikal tetapi turut mencerminkan keyakinan terhadap misi ini,” katanya.
Tinesh berkata beliau akan berada di sana hingga 10 hari untuk merakam migrasi, dinamik antara pemangsa dan mangsa, rondaan pemuliharaan serta naratif masyarakat peribumi setempat.
Hasil akhir projeknya termasuk imej beresolusi tinggi akan digunakan untuk penerbitan dan arkib di bawah platform editorial National Geographic.
“Saya harap karya saya ini akan dapat menyedarkan orang ramai bahawa haiwan-haiwan ini ialah makhluk bernyawa dalam sebuah sistem kehidupan yang kita juga sebahagian daripadanya,” kata beliau.
“Sekeping gambar, apabila dihasilkan dengan betul, mampu mengubah perspektif dan membawa kepada perubahan sebenar.”
Sumber: BERNAMA
The post Jurugambar Malaysia Dinamakan National Geographic Explorer Untuk Projek Hidupan Liar Kenya appeared first on Siakap Keli.
